Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek tetak mati 3 beradik disah positif dadah- Polis
Diterbitkan:  May 18, 2018 2:55 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Suspek kes bunuh tiga beradik yang maut ditetak di Kampung Sungai Haji Muhammad, Selekoh di Bagan Datuk dekat Teluk Intan semalam didapati positif dadah jenis metamfetamina dan ganja.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata siasatan awal polis mendapati lelaki berusia 35 tahun itu berada di bawah pengaruh dadah namun dalam keadaan sedar semasa kejadian itu berlaku.

"Hasil siasatan ke atas suspek mendapati dia berada dalam keadaan sedar semasa kejadian tersebut kerana dia tahu siapa (mangsa) yang hendak dicarinya.

"Ini kerana jarak rumah antara suspek dan mangsa hanya kira-kira 400 meter sahaja dan suspek merupakan rakan sekerja dan kenalan kepada bapa mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak hari ini.

Mohd Marzukhi berkata suspek berjaya diberkas kira-kira 45 minit selepas kejadian yang berlaku di dua lokasi iaitu di kediaman mangsa dan Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad.

“Selepas menetak ketiga-tiga beradik dan ibu mereka, suspek kemudian menuju ke sekolah itu yang terletak kira-kira 80 meter dari rumah mangsa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seorang anggota polis mengalami kecederaan ringan akibat terkena parang ketika bergelut dengan suspek semasa mahu menahannya.

Ditanya sama ada kejadian berkenaan bermotifkan dendam, Mohd Marzukhi berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Dalam kejadian 2 petang semalam, suspek yang bekerja sebagai penyelenggara di sebuah agensi kerajaan telah menceroboh rumah keluarga berkenaan dengan bersenjatakan parang lalu melibas ketiga-tiga kanak-kanak terbabit iaitu Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Muhammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, hingga mengakibatkan kematian.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan empat lagi parah, termasuk ibu mereka, Zuraidah Md Ali, 35, dan kakak sulung ketiga-tiga mangsa Nur Zurin Faziera, 9, seorang murid sekolah yang dikenali Aina, 9 serta seorang guru sekolah dikenali sebagai Ustaz Ridzuan, 40.

- Bernama

Lihat Komen
ADS