Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sindiket guna bas diubahsuai seludup Rohingya ke sempadan Thai-M'sia
Diterbitkan:  May 18, 2018 3:29 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Sindiket pemerdagangan manusia didapati menggunakan bas ekspres yang diubah suai khusus untuk mengangkut pendatang tanpa izin etnik Rohingya dari Bangkok ke wilayah selatan berhampiran sempadan Thai-Malaysia, sebelum menyeludup mereka ke Malaysia.

Polis Thai yang mengadakan operasi semalam mendapati beberapa bas ekspres yang berulang-alik bagi laluan Bangkok-Hatyai diubah suai dengan mewujudkan ruang rahsia untuk menempatkan pendatang tanpa izin Rohingya bagi perjalanan ke selatan.

"Kami dapati bas ini mempunyai ruang khas untuk menyembunyikan etnik Rohingya untuk diperdagangkan ke wilayah selatan. (Sebaik tiba di selatan) Mereka (pemerdagang) akan menyerahkan etnik Rohingya ini kepada ejen yang akan menyeludup mereka ke Malaysia," kata timbalan ketua polis pelancongan Mej Jen Surachet Hakpan selepas mengetuai operasi itu di sini.

Operasi itu turut disertai pegawai daripada Jabatan Pengangkutan Darat yang mengesahkan kewujudan bas khas yang diubah suai itu.

Menurut Surachet, polis telah pun mengenal pasti identiti lelaki warga asing yang bertindak sebagai dalang untuk memperdagangkan etnik Rohingya ke selatan Thailand dengan menggunakan bas ekspres dan sedang menjejakinya untuk ditahan.

Pihak berkuasa turut mengeluarkan waran tangkap ke atas suspek yang disyaki dalang itu, katanya dan menambah, kira-kira 30 orang pemandu bas disiasat atas kemungkinan bersubahat dengan jenayah itu.

Sekurang-kurangnya enam buah bas disyaki mewujudkan ruang khas itu yang tidak memenuhi peraturan standard yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat, kata Surachet.

Polis membongkar taktik terkini menggunakan bas ekspres untuk menyeludup Rohingya ke selatan Thailand susulan kes terbaharu di daerah Chaiya di wilayah Surat Thani.

Dalam kes itu, beberapa orang pendatang tanpa izin Rohingya didapati bersembunyi di dalam ruang khas bas ekspres itu dan mereka ditahan sebelum sempat tiba di wilayah selatan.

Selain bas, pihak berkuasa Thai turut menahan pendatang tanpa izin Rohingya yang menaiki kereta api menghala ke selatan, dan para pegawai percaya mereka sedang berusaha untuk datang ke Malaysia.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS