Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Matawang asing lama, sijil kahwin dalam peti besi - Jurucakap Najib

Sebuah peti besi di kediaman peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta telah berjaya dibuka dan di dalamnya tersimpan mata wang asing lama yang kecil jumlahnya.

Jurucakap bekas perdana menteri, dalam kenyataan lewat malam tadi berkata ia turut mengandungi beberapa dokumen termasuk sijil perkahwinan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

" Ia merupakan sebuah peti besi yang berusia lebih 20 tahun dan dibuka secara paksa kerana kuncinya telah hilang," katanya.

Menurutnya, peti besi itu terpaksa dibuka menggunakan kepakaran tukang kunci.

Jurucakap itu seterusnya berkata peti besi di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya merupakan sebahagian daripada rumah berkenaan.

"Tidak sepatutnya timbul masalah membukanya," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, polis dilaporkan menghadapi kesukaran  membuka peti besi di kediaman peribadi Najib di Taman Duta itu selepas dikatakan kunci tersebut sudah lama hilang.

Penggeledahan di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu, serta lima lagi lokasi lain, adalah sebahagian daripada siasatan kes penyelewangan dana, syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

- Bernama

Lihat Komen
ADS