Berita Malaysiakini

Salahuddin: Dari Kampung Serkat ke Putrajaya

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub, yang baru sahaja dinamakan sebagai menteri pertanian dan industri asas tani oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merupakan anak jati Kampung Serkat, Pontian.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang baru selesai, Salahuddin menumbangkan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang merupakan penyandang kerusi parlimen Pulai dengan majoriti 28,924 undi.

Salahuddin, 56, memulakan pendidikan di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, di Pontian, seterusnya Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Sekolah Menengah Sri Perhentian, Sekolah Agama Kerajaan Johor dan kemudiannya menamatkan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Datuk Penggawa Barat pada 1980.

Salahuddin kemudiannya melanjutkan pelajaran di TAR College dalam Diploma Pengurusan Perniagaan selama setahun dan kemudian memperolehi Ijazah Sains dan Pembangunan Kemanusiaan dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau yang mendirikan rumahtangga dengan Fatimah Taha dan mempunyai enam orang cahaya mata, mula menjinakkan diri dalam politik apabila menyertai PAS pada 1983 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah dan pusat, antaranya Ketua Pemuda PAS dan Naib Presiden PAS.

Bekas anggota Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu juga pernah mencuba nasib bertanding pada PRU13 atas tiket PAS di kerusi DUN Nusajaya dan kerusi parlimen Pulai tetapi tewas kedua-duanya.

Bagaimanapun, Salahuddin menyertai Parti Amanah Negara pada 31 Ogos 2015 menyebabkan keanggotaannya dalam PAS gugur secara automatik akibat konflik dalaman antara ahli-ahli PAS pada ketika itu.

Jawatan lain yang pernah dipegang termasuk dilantik dalam Jawatankuasa Khas mengenai Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pernah beberapa kali mengetuai misi kemanusiaan ke Afghanistan, Vietnam, Iraq dan Lubnan.

- Bernama