Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini, pemimpin ASEAN yang kedua mengunjungi perdana menteri baharu itu selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei.

Pertemuan selama kira-kira 30 minit itu berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana (PLF), tempat Dr Mahathir menjalankan tugasnya ketika ini.

Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah merupakan pemimpin ASEAN yang pertama mengunjungi Dr Mahathir, dalam lawatannya pada Isnin lepas.

Lee yang segak memakai baju batik dan delegasinya termasuk isterinya Ho Ching tiba di PLF pada 11 pagi, yang telah mencetuskan suasana gamat dalam kalangan begitu ramai pemberita tempatan dan antarabangsa yang telah berkampung di pintu masuk PLF sejak 10 Mei.

Ketibaan Lee di lobi PLF disambut oleh Dr Mahathir.

Dr Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia selepas mengetuai gabungan Pakatan Harapan untuk mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14, sekali gus menjadi perdana menteri paling tua di dunia.

Rabu lepas, Lee mengumumkan dalam sidang Parlimen Singapura bahawa beliau akan melakukan lawatan ke Malaysia untuk bertemu Dr Mahathir.

Beliau dipetik oleh Channel NewsAsia sebagai berkata, beliau teruja untuk sekali lagi bekerjasama dengan Dr Mahathir demi faedah bersama.

Lee berkata Singapura juga telah bekerjasama dengan Dr Mahathir dan beberapa anggota pasukannya sebelum ini dengan menyiapkan beberapa projek termasuk Link Kedua di Tuas, semasa tempoh terdahulu Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia dari 1981 sehingga 2003.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dinamakan sebagai timbalan perdana menteri Malaysia, hari ini mengunjungi perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya.

Dr Wan Azizah yang diiringi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan Ketua Umum PKR mengadakan pertemuan kira-kira sejam dengan Lee dan isterinya Ho Ching.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Dr Wan Azizah berkata ia merupakan satu penghormatan untuk bertemu Lee dan isterinya dan bahawa pertemuan itu merupakan pertemuan yang “baik”.

“Perbincangan turut menekankan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura sebagai negara berjiran di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata beliau berbesar hati dapat bertemu Lee, yang sudah dikenalinya semasa beliau menjadi menteri kewangan dan timbalan perdana menteri dahulu.

“Bagi saya, amat berbesar hati dapat bertemu dengan Lee. Pada asasnya kami percaya akan hubungan dua hala yang lebih erat dengan Singapura berikutan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan perkara ini,” katanya.

- Bernama