Pelancong Britain dipukul, tak sedar diri
Seorang lelaki warga Britain cedera dan tidak sedarkan diri akibat dipukul sekumpulan lelaki dalam pergaduhan di hadapan Restoran Jaya, berhampiran Black and White Jalan Penang di George Town awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata, bagaimanapun keterangan mangsa yang luka pada bahagian leher itu tidak dapat diambil berikutan sedang diberikan rawatan dan tidak sedarkan diri.
"Siasatan di tempat kejadian hasil maklumat daripada rakan mangsa mendapati terdapat kesan darah di hadapan restoran tersebut.
"Rakan mangsa yang juga warga Britain menyatakan dia tidak tahu tentang kejadian itu dan hanya nampak sekumpulan lelaki berkulit gelap berkumpul. Ketika sampai dia melihat mangsa sudah terbaring serta berlumuran darah," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian adalah kabur dan terlindung.
Anuar berkata susulan itu, polis menahan seorang lelaki berumur 38 tahun dan suspek direman hingga khamis ini serta memburu suspek yang masih bebas.
Beliau berkata polis akan menjalankan siasatan susulan sebaik sahaja mangsa stabil dan selesai menjalani rawatan.
- Bernama

