Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amar Singh: Tindakan tegas polis 'makan coklat'
Diterbitkan:  May 19, 2018 10:54 PM
Dikemaskini: 3:26 PM

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata tindakan tegas akan diambil terhadap anggota pasukan polis yang dikatakan 'menyerbu' peti sejuk salah seorang anak bekas perdana menteri, jika tuduhan tersebut terbukti benar.

"Mengenai tuduhan permintaan 'menyediakan makanan' dan anggota polis 'makan coklat dan makanan dari peti sejuk', saya meminta agar butiran lebih lanjut disediakan mengenai kejadian yang berlaku dan juga mengenal pasti, jika mungkin, anggota polis yang terbabit.

"Saya tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tidak profesional dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat dengan melanggar prosedur operasi polis kami, jika tuduhan itu benar," kata Amar Singh dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau mengulas aduan yang dikemukakan oleh peguam bekas presiden Umno itu, Harpal Singh Grewal mengenai operasi penggeledahan pasukan polis di unit kondominium kediaman anak Najib.

Amar berkata beliau telah mengingatkan semua pegawai yang terlibat dalam penggeledahan itu untuk menjadi profesional dan melayan penghuninya dengan hormat kerana premis itu diduduki oleh bekas perdana menteri dan keluarganya.

Sementara itu, Amar Singh juga mengatakan beliau telah mengarahkan pegawainya untuk tidak membawa telefon bersama mereka semasa penggeledahan bagi memastikan tiada gambar yang bocor yang boleh menyebabkan "perbicaraan oleh media elektronik".

Oleh itu, beliau meminta butiran lanjut mengenai sebarang gambar yang dicurigai dibocorkan daripada operasi penggeledahan itu bagi mengesahkan sama ada imej itu datang daripada pihak polis atau "kerana terdapat ahli keluarga dan kawan-kawan yang hadir semasa penggeledahan itu."

Terdahulu, isteri Najib, Rosmah Mansor melalui peguamnya, mengeluarkan kenyataan mendesak pihak polis untuk menutup sebarang kebocoran dalam siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS