Kami masih dalam BN, kata MyPPP
MyPPP masih sebahagian daripada BN, kata timbalan setiausaha agungnya Simon Sabapathy.
The Star Online memetik Simon yang menegaskan bahawa pengumuman presiden MyPPP yang telah dipecat, M Kayveas tidak sah kerana dia tidak mempunyai kuasa bercakap bagi parti.
Semalam, Kayveas mengumumkan MyPPP keluar daripada BN selepas mendakwa dia menerima maklumat daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa dia masih merupakan presiden.
Simon bagaimanapun menegaskan bahawa Kayveas gagal membuat rayuan dalam pemecatannya dan tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam parti.
Tambahnya, ROS sudah dimaklumkan berhubung pemecatan M Kayveas.
Simon juga menjelaskan bahawa meskipun Kayveas masih merupakan presiden, dia tidak boleh menyatakan secara sepihak bahawa MyPPP tidak lagi bersama BN.
"Kayveas tidak boleh secara sepihak membuat keputusan besar begitu tanpa berunding dengan majlis tertinggi," katanya menambah MyPPP sedang mempertimbangkan mengambil tindakan injunksi terhadap Kayveas.
Sama ada MyPPP akan kekas bersama BN di masa depan, The Star Online juga melaporkan bahawa parti itu akan membuat keputusan dalam perhimpunan agungnya.
"Ia keputusan besar. Kami perlu tahu apa pendapat anggota tentangnya dan membuat keputusan bersama melalui undian.
"Ia bukan untuk Kayveas putusakan," kata Simon.
April lalu, Kayveas berkata dia menarik semula peletakan jawatan sebagai presiden, mendakwa terdapat plot dalaman untuk "merampas" parti itu.
MyPPP bagaimanapun menegaskan Kayveas dipecat.

