Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menafikan ada meminta diletakkan di bawah skim perlindungan saksi sebagaimana dilaporkan media.

“Sebaliknya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membuat laporan polis untuk memohon perlindungan bagi dirinya dan keluarga kerana bimbang akan keselamatan mereka selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14,” demikian kata jurucakap beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan dua perenggan itu merujuk laporan akhbar tempatan hari ini yang memetik satu laporan polis yang dibuat Najib di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul petang semalam, yang mendakwa nyawa beliau dan keluarganya terancam.

Akhbar tempatan yang memetik laporan eksklusif Malay Mail itu menyatakan bekas perdana menteri itu memohon diletakkan di bawah program perlindungan saksi berhubung siasatan skandal berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

- Bernama