Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata beliau terpaksa menaiki sebuah kereta untuk ke Pekan kerana tidak boleh lagi menaiki pesawat untuk menuju ke destinasinya.

"Pagi tadi saya menaiki kenderaan ke Pekan sebab tak ada lagi kapal terbang.

"Saya bertolak 9.30 pagi, sampai Pekan 12.10 tengah hari," katanya pada pertemuan dengan lebih daripada 500 penyokongnya di Pekan hari ini.

Bagaimanapun, Najib berkata dengan menaiki kereta dapat memberikan peluang kepadanya melihat pembangunan di sepanjang lebuh raya.

"Saya melihat, saya kata lebuh raya ni siapa buat, saya kata, Umno, BN yang buat

"Saya kata jasa siapa, jasa siapa. Saya lihat ke kanan kilang kereta, lihat universiti otomotif. Saya kata siapa bawa pelaburan," katanya sambil disambut teriakan "Datuk Najib!".

Najib berkata pembangunan bukan sahaja berlaku di Pekan, tetapi juga boleh dilihat di seluruh negara.

Najib sebelum ini melakukan perjalanan ke seluruh negara menggunakan pesawat kerajaan dengan nombor pendaftaran 9M-NAA.

Beliau juga pernah dikritik kerana membawa anggota keluarganya menaiki pesawat kerajaan ke luar negara.

Pada 9 Mei lalu, BN mengalami kekalahan kali pertama sejak negara mencapai kemerdekaan dan selepas 61 tahun berkuasa.