Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Abaikan sebab utama 1MDB punca kekalahan MCA'
Diterbitkan:  May 20, 2018 9:46 PM
Dikemaskini: 1:51 PM

Ketua MCA bahagian Bandar Tun Razak Chew Yin Keen tidak sependapat dengan kepimpinan tertinggi parti itu terhadap kekalahan terburuk MCA pada pilihan raya umum, 9 Mei lalu.

Chew berkata presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, menganggap kekalahan parti itu berpunca daripada undi PAS yang terpecah, bantahan MCA terhadap Akta 355 dan papan iklan berbunyi "undi BN sama dengan undi Najib dan isteri".

"Saya tidak bersetuju dengan pandangannya," kata Chew dalam satu kenyataan hari ini.

"Hakikatnya, adalah diketahui bahawa sebab utama kekalahan dan kehilangan kuasa BN pada pilihan raya umum lalu disebabkan skandal yang mengelilingi perdana menteri (Datuk Seri) Najib Razak dan keluarganya, khususnya 1MDB dan 'sumbangan politik' RM2.6 bilion," katanya sambil menambah BN gagal menjawab kritikan berkenaan.

Beliau memberi amaran bahawa jika MCA enggan mengakui sebab sebenar kekalahannya, parti itu tidak akan dapat dipulihkan lagi.

"Jika MCA masih memilih untuk abaikan penyebab sebenar kekalahan buruk dan sebaliknya menyalahkan orang lain, MCA tidak akan dapat bertahan lagi.

"Menyalahkan bantahan kuat MCA kepada Akta 355 dan pertandingan tiga penjuru adalah tidak masuk akal kerana ia bukanlah sebab utama kekalahan MCA.

"MCA perlu menerima sebab sebenar kekalahan dan memikirkan semula strategi dan teruskan untuk membina parti yang jujur, ikhlas dan boleh dipercayai," katanya.

Chew berkata faktor lain kekalahan MCA termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang membebankan rakyat terutama di kalangan masyarakat Melayu yang secara tradisional menyokong BN.

Tambahan pula, beliau berkata MCA dilihat oleh masyarakat Cina sebagai "tukang angguk" kepada Umno.

"Satu lagi faktor yang menyebabkan kekalahan BN adalah persempadanan semula pilihan raya, terutamanya pengundi muda, menganggap kerajaan BN sebagai menipu hak rakyat serta tidak adil kepada pembangkang. Ini menyebabkan kebangkitan pengundi muda dan mereka berpendidikan yang memberontak terhadap BN," katanya.

Chew berkata beliau tidak membuat sebarang tuduhan terhadap jawatankuasa pusat MCA tetapi berharap mereka boleh meneliti punca sebenar kekalahan.

"Jika tidak, MCA akan lenyap dan menjadi sejarah," katanya.

Lihat Komen
ADS