Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli Umno mahu jawatan tertinggi ditandingi - Mohamad
Diterbitkan:  May 20, 2018 10:57 PM
Dikemaskini: 3:04 PM

Bekas menteri besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan membantah cadangan agar dua jawatan tertinggi dalam Umno tidak dipertandingkan.

Mohamad, yang merupakan pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan, menyokong gesaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin agar semua jawatan dipertandingkan termasuk presiden dan timbalan presiden.

"Saya secara peribadi mengatakan majoriti ahli Umno mahu semua jawatan ditandingi.

"Umno memerlukan tenaga dan kepimpinan baru, biarkan anggota akar umbi membuat keputusan tanpa sebarang sekatan," katanya dipetik oleh New Straits Times.

Semalam, Khairy dengan tegas mengatakan beliau tidak bersetuju jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.


Baca: Jawatan dalam Umno perlu dipertandingkan


“Saya fikir perlu hentikan perkara tidak munasabah ini bagi (jawatan tertinggi) tidak dipertandingkan… ia seolah-olah kita tidak membuka ruang demokrasi kepada ahli-ahli kita.

“Kita tidak perlu ada lagi peraturan ‘tidak dipertandingkan’ dalam Umno. Anda hanya menghantar mesej buruk kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di Menara Dato’ Onn, di ibunegara.

Terdahulu, Ketua Umno bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata Umno Melaka sebulat suara bersetuju supaya tiga jawatan tertinggi parti melibatkan kerusi presiden, timbalan presiden dan satu kerusi naib presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu.

Mohd Ali berkata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas presiden dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas timbalan presiden harus kekal di kerusi itu, selain menamakan Khairy menduduki kerusi naib presiden.

Lihat Komen
ADS