Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan Selangor perkenan Azmin lepas jawatan MB
Diterbitkan:  May 21, 2018 9:20 AM
Dikemaskini: 5:14 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan melepaskan kedudukannya sebagai menteri besar.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Azmin bagaimanapun akan kekal memegang jawatan itu sehingga peralihan kuasa kepada menteri besar baru dapat dijalankan secara lancar dan teratur.

"Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah memberi perkenan kepada Azmin memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

"Azmin akan melepaskan jawatan sebagai menteri besar sebaik sahaja Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkenan melantik menteri besar yang baru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Munir juga berkata Azmin perlu mengemukakan senarai calon penggantinya untuk diteliti Sultan Sharafuddin.

Ketika dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi minggu lalu, Azmin berkata beliau tidak dapat memegang kedua-dua jawatan dan akan berjumpa dengan Sultan Selangor dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membincangkan perkara itu.

Beliau bertemu dengan Mahathir pada Sabtu lalu, dan dengan Sultan Sharafuddin semalam.

Selangor sentiasa di hati

Sementara iu Azmin berkata beliau menjunjung kasih kepada Sultan Sharafuddin atas perkenan bagina untuknya memainkan peranan yang lebih besar di peringkat persekutuan.

Kata Azmin beliau menerima amanah dan tanggungjawab berkenaan dengan kesedaran untuk melaksanakan reformasi ekonomi demi menyelamatkan negara dari krisis akibat kecelaruan dasar-dasar pentadbiran sebelum ini.

"Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada usaha membangunkan sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan, serta meningkatkan pelaburan langsung luar negara (FDI).

"Saya memberi jaminan kepada pelabur domestik dan pelabur asing bahawa kerajaan baru ini adalah business friendly dan mesra pelabur dengan berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

"Menjadi iltizam saya untuk memacu daya saing ekonomi negara demi meletakkan kembali Malaysia di kedudukan utama dalam kepimpinan ekonomi rantau ini.

"Saya juga bertekad untuk memastikan keadilan sosial terlaksana dengan kekayaan negara diagihkan secara adil dan saksama," katanya.

Kata anggota parlimen Gombak itu, walaupun bertugas sebagai menteri persekutuan, Selangor akan sentiasa dekat di hatinya.

"Percayalah, saya akan terus bersama rakyat Selangor meneruskan kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri.

"Amat berat untuk saya meninggalkan rakyat Selangor. Namun, saya insaf bahawa saya juga mempunyai tanggungjawab yang lebih besar terhadap negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Ini adalah panggilan tanah air. Justeru, saya mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan khidmat dan bakti kepada bangsa dan negara," katanya.

Lihat Komen
ADS