Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tarik balik sekatan editor Sarawak Report masuk Sarawak'

Gerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS) mendesak Ketua Menteri Datuk Abang Johari Abang Openg menarik balik sekatan masuk terhadap pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.

Rewcastle-Brown tiba di Kuala Lumpur kelmarin selepas Pakatan Harapan merampas Putrajaya dan waran tangkap terhadap pengarang itu dibatalkan.

Beliau pagi ini memberitahu satu portal berita bahawa beliau tidak pasti untuk melawat Srawak kerana tidak yakin namanya dikeluarkan daripada senarai hitam.

Dalam reaksi segeranya, pemimpin MoCS Francis Siah memberitahu Malaysiakini bahawa Rewcastle-Brown, yang lahir di Bumi Kenyalang, harus dibenarkan masuk ke negeri itu.

Menurut MoCS, ramai rakyat Sarawak ternanti-nanti untuk bertemu Rewcastle-Brown.

“Saya gesa Ketua Menteri Abang Johari Abang Openg menarik balik sekatan terhadapnya.

"Biar saya ingatkan dia, dalam PRU14, rakyat Sarawak sudah bersuara dengan kuat dan jelas.

“Dengan meneruskan dasar menindas (Tun) Taib Mahmud, BN akan dihukum dengan seteruk-teruknya dalam pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Siah berkata, Rewcastle-Brown hanya 'bersalah' kerana menyiarkan laporan eksklusif yang memperincikan dakwaan rasuah pemimpin-pemimpin kanan negeri.

“Rewcastle-Brown bukan ancaman pada keselamatan Sarawak dan kami tuntut beliau dibenarkan melawat negeri ini,” katanya.

Rewcastle-Brown ialah seorang wartawan penyiasatan British yang secara terbuka mengkritik BN Sarawak melalui Sarawak Report – yang turut terkenal dengan pendedahannya dalam skandal 1MDB.

Kerajaan Malaysia terdahulu pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan waran tangkap padanya pada 2015 atas alasan “mengancam demokrasi berparlimen”.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS