LFL: Semak semula kes 'bermotifkan politik' era BN
Diterbitkan: May 21, 2018 2:26 PM | Dikemas kini: May 21, 2018 3:43 PM
Kumpulan peguam Lawyers for Liberty meminta kerajaan baru menyemak semula kes-kes yang didakwa “bermotifkan politik” di era BN.
Pengarah eksekutifnya Eric Paulsen berkata kerajaan sebelum ini telah menggunakan undang-undang yang menekan, seperti Akta Hasutan 1948, terhadap penentangnya.
“Pejabat Peguam Negara (AGC) hanya membuang masa dan sumber awam jika meneruskan kes-kes bermotifkan politik yang dibuat semasa pentadbiran dahulu,” katanya.
Lebih buruk lagi, kata Paulsen, ia akan mencemarkan kepercayaan awam terhadap kerajaan HARAPAN dan AGC sendiri, kerana meneruskan pendakwaan bawah undang-undang yang dijanji dimansuhkan.

