Kerajaan baru Pakatan Harapan diminta tidak meminggirkan suara anak muda dalam usaha mereka memulih serta membangunkan negara.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin berkata antara langkah yang boleh diambil sesebuah kementerian ialah mengadakan sidang meja bulat bersama kumpulan anak muda.

Tujuannya kata Shazni Munir supaya banyak idea baru, segar dan realistik dapat dikongsi bersama dengan agensi kerajaan.

"Badan-badan yang dibentuk peringkat persekutuan dengan tujuan mereformasi institusi pula wajib melibatkan anak muda sebagai sebahagian daripada korum atau ahli mesyuarat," katanya.

Selain ia dapat mewujudkan keseimbangan dalam keputusan yang diambil, pembabitan anak muda juga membolehkan sesuatu cadangan dapat ditekuni secara menyeluruh supaya kesannya kekal relevan untuk generasi akan datang.

Kata Shazni Munir pembabitan anak muda - sama ada melalui pertubuhan politik atau tidak - bukan saja perlu dilakukan di peringkat persekutuan, malah juga di negeri-negeri.

Katanya mereka boleh dilibatkan untuk merangka dasar dan undang-undang sehingga ke peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kaedah dan mekanisme pembabitan itu boleh diperhalusi sebaiknya.

"Asasnya ialah, kita tidak mahu generasi masa depan dicicirkan dalam usaha membina semula negara ini," katanya.