Transparency mahu PM, menteri dedah aset kepada SPRM
Transparency International (Malaysia) mahu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua institusi awam untuk mengisytiharkan aset masing-masing kepada SPRM.
Presiden TI (M) Akbhar Satar berkata ini juga harus membabitkan pasangan dan ahli keluarga mereka.
Bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM dan timbalan-timbalannya, beliau berkata mereka harus juga berbuat demikian tetapi melaporkan terus kepada parlimen.
"Langkah sedemikian akan meningkatkan keyakinan dan menggalakkan yang lain, sama ada di atas dan di bawah, untuk mendedahkan aset mereka secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan media petang ini.
Akhbar berkata amalan sebelum ini adalah jemaah menteri akan mengisytiharkan aset mereka kepada perdana menteri manakala ketua kementerian dan jabatan termasuk peguam negara, ketua hakim, ketua polis, ketua angkatan tentera dan anggota tertinggi dalam perkhidmatan awam mengisytiharkan aset masing-masing kepada ketua setiausaha negara.
"Pengisytiharan aset perlu dilakukan sebelum dan selepas memegang jawatan, dengan analisis nilai bersih dijalankan secara berkala - disarankan melakukannya sekali setahun.
"Dalam konteks ini, SPRM mempunyai akauntan dan penyiasat forensik yang profesional dan boleh memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal mematuhi prinsip yang ditetapkan," katanya.
Di Filipina, katanya, Philippine Centre for Investigative Journalism meletakkan pengisytiharan harta Ahli Kongres dan Ahli Kabinet serta pasangan masing-masing secara dalam talian.
Begitu juga di Thailand, Akhbar berkata, Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan turut mewartakan pengisytiharan harta pegawai kanan kerajaan dan pasangan masing masing.
Menurut beliau, pengisytiharan harta juga bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan serta boleh mengelakkan tuduhan palsu dan meningkatkan kepercayaan orang ramai.
"Ia juga boleh meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi politik dan perkhidmatan awam serta mengelakkan tuduhan palsu, selain membantu mengatasi isu pertelingkahan kepentingan dan liabiliti.
"Pengisytiharan harta secara online tidak membawa sebarang bahaya seperti didakwa pihak tertentu, memandangkan senarai 10 orang terkaya di Malaysia yang nama mereka disiarkan setiap tahun di media juga tidak mengalami sebarang masalah," kata beliau.

