Rosmah Mansor memohon maaf kepada anggota keluarga yang mendapat manfaat daripada Program Permata Negara, susulan ketidaktentuan projek itu bawah kerajaan baru.

“Pada saya, perhatian saya pada keluarga ini, dan orang ramai harus faham perkara ini.

“Kamu tahu, sebelum ini saya sentiasa ambil tahu hal ehwal keluarga orang lain sehingga saya lupa pada keluarga sendiri.

“Jadi sekarang, ini masanya untuk menjaga keluarga sendiri,” isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dipetik sebagai berkata oleh Malay Mail.

Ini adalah wawancara pertama Rosmah selepas BN kecundang dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Sementara itu, Rosmah juga berkata, beliau berharap PERMATA diteruskan.

Bagaimanapun, katanya, semua itu terpulang pada kerajaan baru.

“Saya hanya mahu minta maaf kepada ibu bapa kepada anak-anak terlibat kerana perkara ini berlaku dan saya harap mereka mampu terima perkara ini, kerana saya amat rapat dengan mereka,” katanya.

Program itu diperkenalkan hampir sedekad lalu ketika Najib mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam Belanjawan 2017, sebanyak RM85 juta diperuntukkan untuk program itu.