MCA: Elak campur tangan politik dalam kes rasuah Lim
Cadangan menggugurkan tuduhan rasuah melibatkan menteri kewangan Lim Guan Eng mempunyai unsur campurtangan politik, kata pemimpin MCA, Ti Lian Ker.
Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap publisiti MCA itu berkata, proses undang-undang wajar dihormati dan dipatuhi.
"Keadilan mesti dilaksanakan apabila tiba masanya. Kedua-dua institusi peguam negara dan badan kehakiman mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka tanpa sebarang bentuk gangguan.
"Sekiranya ahli-ahli politik mula memberikan arahan tertentu kepada institusi-institusi ini, maka kita tidak ada beza dengan apa kita yang dulu apabila kita mendakwa berlaku campur tangan politik.
"MCA menggesa kerajaan Pakatan Harapan telus dan mengelak daripada mencampuri atau memberikan tekanan politik ke atas institusi yang ditugaskan untuk melaksanakan dan mendukung undang-undang," kata Ti.
Ti merujuk kepada penangguhan perbicaraan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dan ahli perniagaan Phang Li Koon, yang dijadualkan bermula hari ini selepas tertuduh mencari representasi baru dengan peguam negara yang baru.
AG baru dijangka akan dilantik pada bulan Julai bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang kini diminta bercuti selama sebulan.
Perbicaraan Lim yang berlangsung selama dua hari pada Mac, ditangguhkan sehingga hari ini kerana pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pada 30 Jun tahun lepas, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam, iaitu ketua menteri Pulau Pinang, untuk mendapatkan keuntungan bagi diri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai 2014.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Lim menghadapi tuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang didakwa beliau ketahui tidak sepadan dengan nilai pasaran bagi hartanah berkenaan iaitu RM4.27 juta.
Tuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Phang mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan banglo itu di bawah harga pasaran. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh sama.
Tuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama-sama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

