MTEM tawar data 6 tahun untuk agenda bumiputera k'jaan baru
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menawarkan data-data mereka, yang dikumpulkan lebih enam tahun, kepada kerajaan baru bagi membantu mempertingkatkan ekonomi bumiputera.
"NGO seperti kami bersedia membantu dan kami harap kerajaan (Pakatan) Harapan akan bekerjasama dengan MTEM kerana kami ada tumpuan jelas bagaimanakah cara membantu perniagaan bumiputera secara lebih berkesan.
"Kita ada data-data yang kita kumpul dan kita konsisten sejak enam tahun lepas.
"Kita lakukan engagement bersama pihak kerajaan dan bukan kerajaan untuk memahami apa masalah sebenar dan bagaimanakah cara memajukan ekonomi Melayu.
"Sesuai dengan parti yang menang, MTEM mempunyai harapan agar agenda ekonomi bumiputera akan ditambah nilai serta dikaji semua perlaksanaannya supaya ia lebih berkesan dan tidak hanya menguntungkan golongan tertentu," kata Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Ahmad Yazid Othman.
Dalam sidang media di Pejabat MTEM di Bukit Damansara, hari ini, Yazid berkata status ekonomi Bumiputera masih jauh ketinggalan.
Katanya sehingga kini pendapatan perkapita bagi bumiputera hanya 34 peratus (RM63,000) setahun berbanding golongan Cina dengan RM185,000 setahun.
Selain itu, katanya, golongan bumiputera hanya memiliki 26.1 peratus aset perumahan di Malaysia manakala bukan bumiputera pula dengan 63.3 peratus.
Sedangkan penduduk bumiputera dua kali ganda berbanding bukan bumiputera, tambahnya.
Beri peluang pada Lim, Azmin
Sementara itu Ahmad Yazid ketika ditanya pelantikan Datuk Seri Azmin Ali dan Lim Guan Eng selaku menteri hal ehwal ekonomi dan menteri kewangan menyambut baik perkara itu.
"Kita berlapang dada, kita kena beri peluang kepada Lim Guan Eng, dia bukan memimpin bersendirian, beliau akan dibantu oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah dan menteri ekonomi Azmin.
"Kita hormati dan sokongan penuh apa yang Dr Mahathir putuskan dan kita akan terus mara ke hadapan dengan pihak kementerian ekonomi untuk melihat data-data, dapatan kami untuk membantu ekonomi bumiputera dengan lebih berkesan," katanya.

