Pejabat Peguam Peguam Negara hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa portal berita Malaysiakini tidak mempunyai locus standi untuk mencabar keperlembagaan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Ini kerana portal berita itu tidak terjejas dengan undang-undang baru itu, kata peguam kanan persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Beliau juga berhujah bahawa Malaysiakini telah salah menamakan menteri dalam negeri sebagai responden dan bukannya menteri di jabatan perdana menteri seperti sepatutnya.

"Kami selanjutnya menyatakan bahawa ini adalah undang-undang jenayah. Cabaran itu harus dibangkitkan di Mahkamah Sesyen, dan bukan di sini di Mahkamah Tinggi.

"Mahkamah Tinggi bukanlah forum yang sepatutnya," tegasnya di hadapan Hakim Datuk Azizah Nawawi di dalam kamarnya.

Awang Armadajaya berkata demikian dalam permohonan bantahan awal terhadap permohonan semakan kehakiman oleh Malaysiakini berhubung Akta antiberita palsu, di mana portal berita itu memohon perkara itu didengar dengan merit penuh.

Peguam kanan Gopal Sri Ram, yang mewakili Malaysiakini bersama N Surendran, berkata portal berita itu terjejas kerana tugas mereka untuk melaporkan.

Sri Ram berhujah walaupun Malaysiakini tidak dituduh atau disiasat di bawah akta berkenaan, ada kemungkinan portal berita itu akan terjejas teruk apabila undang-undang itu dilaksanakan.

Hakim Azizah kemudian menetapkan 6 Jun untuk memberikan keputusannya berhubung permohonan berkenaan.

Dalam kes semakan kehakiman, kebenaran atau permohonan kebenaran perlu diberikan sebelum merit penuh permohonan itu didengar.

[Baca berita penuh]