Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Memulakan hari pertama sebagai Menteri Pertahanan hari ini, Mohamad Sabu mengaku beliau agak gementar dengan kehidupan barunya ini.

Beliau yang terkenal dengan perwatakan bersahaja berkata kini sedang menyesuaikan diri dengan hal itu tetapi menegaskan tidak akan mengubah 'gaya' sebelum ini yang sudah sinonim dengannya.

"Tentulah gementar, saya selalu hidup bersama rakyat, tetapi sekarang perlu ikut undang-undang dan protokol, ini sesuatu yang baru (menjadi menteri).

"Tetapi saya tidak mahu ubah style Mat Sabu," kata Presiden AMANAH itu, merujuk gelarannya yang barangkali lebih dikenali di kalangan orang ramai berbanding nama penuhnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.

Antara perkara yang perlu dijaganya bermula hari ini, menurutnya, adalah ketika berkata-kata di khalayak umum.

"Saya presiden AMANAH dan juga Menteri Pertahanan, dua perkara ini (membuatkan) saya perlu lebih berhati-hati. Sebarang percakapan akan dilihat dan dikaji kawan dan lawan, dalam dan luar negara," katanya lagi.

Beliau juga berkata akan lebih berhati-hati ketika berhujah - terutama melibatkan soal fakta - demi menjaga hubungan Malaysia dengan negara lain.

Ditanya tentang kesediaan untuk berpindah ke kediaman rasmi kerajaan, anggota parlimen Kota Raja itu berkata sedang menimbang perkara itu.

"Saya nak datang ke sini jauh juga perjalanan. Saya akan putuskan sama ada pindah atau tidak dalam masa terdekat," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS