Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menarik balik saman fitnah terhadap bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

Penyelesaian saman itu direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata beliau menasihati anak guamnya berdasarkan senario yang berubah dan ada isu-isu lain yang perlu diutamakan.

"Kami setuju membayar kos RM25,000 kepada Ling," katanya.

Hafarizam juga menegaskan saman itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk saman baru difailkan selepas Ling juga bersetuju menarik balik tuntutan balasnya tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Peguam Ling, Ranjit Singh, berkata anak guamnya berasa lega berikutan penarikan balik saman tersebut.

Pada 27 Okt 2015, Najib atas kapasiti peribadi telah memfailkan saman terhadap Dr Ling selepas mendakwa bekas Menteri Pengangkutan itu membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam satu artikel yang disiarkan dalam portal berita itu pada 3 Okt 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib berkata Dr Ling secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu majlis di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dengan mendakwa kenyataan oleh Dr Ling membawa maksud beliau (Najib) telah menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Pada 18 Julai 2016, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk mengetepikan afidavit Tun Dr Mahathir Mohamad yang difailkan untuk menyokong permohonan Dr Ling bagi membatalkan saman tersebut.

Manakala pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Dr Ling untuk membatalkan saman yang difailkan Najib.

[Baca berita penuh]