BERITA Malaysiakini

Lepas k'jaan baru, DOJ harap kerjasama penguat kuasa Malaysia

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas kerajaan baru dibentuk, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) hari ini berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia dalam menyiasat transaksi 1MDB.

Jabatan itu juga berkata, AS akan terus “melaksanakan keadilan bagi pihak mangsa” yang terjejas dengan skandal syarikat pelaburan negara itu.

“Jabatan Kehakiman komited untuk memastikan bahawa Amerika Syarikat dan sistem kewangannya tidak terancam oleh individu-individu korup dan kleptokrat yang berusaha menyembunyikan kekayaan mereka.

“Sekiranya mungkin, aset yang dipulih semula akan digunakan untuk memberi faedah kepada mereka yang terjejas oleh perbuatan korupsi dan penyalahgunaan jawatan,” menurut kenyataannya yang dikeluarkan melalui kedutaannya di Kuala Lumpur.

Ia adalah kenyataan pertamanya yang dikeluarkan dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan Mandarin.

Pada 2016 dan 2017, sebagai sebahagian daripada Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi Jabatan Negara, AS memfailkan aduan pelucuthakan dan cuba mendapatkan lebih daripada AS$1.7 bilion aset yang didakwa disalah guna daripada 1MDB.

Aduan itu mendakwa lebih AS$4.5 bilion telah disalurkan daripada 1MDB dan dicuci secara haram melalui rangkaian syarikat lahu (shell company) dan akaun bank yang terletak di AS dan tempat lain.