Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Anwar jelaskan dasar HARAPAN pada sultan Johor
Diterbitkan:  May 22, 2018 11:58 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menjelaskan dasar Pakatan Harapan (HARAPAN) kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika menghadap baginda di Istana Pelangi, Johor Bahru semalam.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Sultan Ibrahim atas undangan berkenaan, Anwar berkata pertemuan itu susulan kemenangan HARAPAN di Johor pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei lalu.

"Umum mengetahui bahawa kemenangan ini pastinya dilapisi dengan hasrat dan harapan rakyat di Johor yang inginkan nasib mereka terbela dek tekanan serta kesenjangan ekonomi yang melampau.

"Mendasari hasrat ini maka baginda ingin memastikan agar penumpuan diberikan kepada pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Dalam kesempatan yang sama, saya diberi perkenan untuk menjelaskan dasar HARAPAN mentadbir yang berteras kerangka hukum dan perlembagaan persekutuan dalam menindaklanjuti perkembangan mutakhir negara," jelasnya.

Anwar berkata dalam pertemuan semalam, Sultan Ibrahim turut membangkitkan pengalaman HARAPAN sebagai sebuah kerajaan baru yang mentadbir.

Beliau turut menjelaskan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan dasar-dasar yang sesuai dengan mandat yang diamanahkan rakyat.

"Kami menyambut baik keprihatian ke bawah duli tuanku Sultan Johor serta Tunku Mahkota Johor dalam menanggapi permasalahan rakyat serta kecaknaan perihal Malaysia seluruhnya.

"InshaAllah dengan sokongan dan dukungan segenap lapisan rakyat termasuklah ke bawah duli tuanku, Johor khususnya serta Malaysia amnya akan kembali dipacu dalam landasan yang betul, mengarah kepada terbinanya sebuah negara bangsa yang beriltizam dan bermaruah," katanya.

Sultan Ibrahim semalam berkenan menerima menghadap Anwar Ibrahim di Istana Pelangi, kira-kira seminggu selepas bekas ketua pembangkang itu mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Hadir sama dalam pertemuan itu anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh.

Lihat Komen
ADS