Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
K’jaan semak semula projek mega, termasuk ECRL, HSR
Diterbitkan:  May 22, 2018 12:24 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Kerajaan akan meneliti semula projek-projek mega dan projek yang telah diberi Surat Setuju Terima (SST), yang telah diluluskan sewaktu pentadbiran terdahulu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beberapa projek yang telah diberi SST akan disemak, sama ada perlu diteruskan atau tidak, kerana ada beberapa projek yang dibuat tergesa-gesa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Kita akan menyemak... sama ada ia akan bagi manfaat atau tidak, kerana kita juga kena lihat implikasi undang-undang sekiranya projek itu dihentikan," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, beliau yang melapor diri di pejabatnya pada 7.45 pagi, mendengar taklimat daripada pegawai pengurusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri.

"Kami mahu melihat semua projek mega yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu, mengkaji semula , dan kami juga mahu merunding semula, tetapi kalau ia belum dilaksanakan, kita akan tumpu hanya pada projek yang akan berikan kesan langsung kepada rakyat," katanya.

Mohamed Azmin berkata penelitian itu juga termasuk projek Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

"Kita pelu mengkaji apa yang berlaku dan proses yang dilakukan dalam pentadbiran lama, kami mahu memastikan keseluruhan proses bagi memastikan ia dilakukan secara telus dan terbuka… biar saya teliti bersama pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

"Tiada lagi rundingan terus dan terhad, ia mesti dilakukan secara terbuka dan telus dalam semua proses perolehan," katanya.

Mengenai isu hutang negara, Mohamed Azmin berkata ia merupakan kebimbangan utama pentadbiran baharu Kerajaan Pakatan Harapan.

"Kami turut membincangkan (perkara itu) pagi ini, dan perlu mengkaji butiran yang menyumbang kepada jumlah hutang yang besar itu, hampir RM1 trilion, dengan sebahagian daripadanya berpunca daripada proses yang tidak telus dan terbuka, dan ada projek besar tidak dimasukkan dalam bajet negara,” katanya.

Mengenai skop tugas beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin berkata EPU merupakan antara portfolio dalam kementerian itu.

"Berdasarkan perbincangan saya dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) pada minggu lalu ada beberapa portfolio penting yang akan diletakkan di bawah kementerian ini, yang akan diteliti dan diputuskan oleh beliau (Tun).

"Saya akan dimaklumkan secara rasmi oleh Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) dalam satu dua hari lagi," katanya.

Mohd Azmin dalam pada itu meletakkan kepercayaan kepada pegawai EPU yang dilihat begitu kuat dan kompeten untuk membantu kerajaan baharu membuat perancangan strategik pembangunan ekonomi Malaysia.

"Kita telah gariskan beberapa agenda reformasi dalam Pakatan Harapan, dan mengikut EPU mereka telah mula meneliti buku Harapan dan beberapa teras yang kita cadangkan untuk pembangunan ekonomi negara yang selaras dengan beberapa teras sedia ada.

"Mungkin cuma naratif, itu yang perlu diteliti untuk kita selaraskan dengan manifesto Pakatan Harapan, tetapi teras utama itu memang telah ada dalam rancangan Malaysia ke-11," katanya.

Ditanya sama ada Bajet 2018 akan disemak semula, Mohamed Azmin berkata: "Kami perlu membentangkan semakan separuh penggal pada September memandangkan Bajet 2019 akan dibentangkan pada 19 Okt, ia (tarikh) hampir, namun yang pasti kami perlu menyediakan Bajet 2019," katanya.

Mohamed Azmin yang masih memegang jawatan Menteri Besar Selangor, semalam mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia bersama 12 Menteri Kabinet yang lain di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS