Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin: HARAPAN kaji dulu mansuh akta, ganti balik jika perlu

Pakatan Harapan (HARAPAN) kini berubah nada terhadap janjinya untuk memansuhkan beberapa akta yang dianggap tidak demokratik dan menindas di negara ini.

Menteri Dalam Negeri yang baru Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, kementerian itu akan mengkaji terlebih dahulu kesemua akta yang dijanji akan dimansuhkan seperti terkandung dalam manifesto pilihan raya HARAPAN.

Menurut Muhyiddin, sebarang tindakan untuk memansuhkan atau meminda sesuatu akta akan dikaji sama ada perlu digantikan dengan akta yang baru.

"Kita akan semak (akta-akta berkenaan) dan ganti balik jika ada keperluan. Kita akan kaji.

"Sebelum nak buat apa-apa tindakan (atau mansuhkan) akan dikaji dulu dan kita akan ambil kira semua pandangan (termasuk) aktivis, Suhakam dan pihak lain.

"Pendekatan HARAPAN ialah kita terbuka dan tak nak berselindung. Semua pihak ada hak dan tanggungjawab.

"Perbincangan dengan mana-mana NGO juga akan dilakukan sebelum mana-mana peruntukan mahu dipinda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Dalam manifesto HARAPAN, gabungan parti itu menyenaraikan 10 akta dan peruntukan undang-undang yang akan dimansuhkan sekiranya menjadi kerajaan.

Antara akta yang disenaraikan ialah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, hukuman gantung mandatori, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Kesalahan keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma);Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

 

Lihat Komen
ADS