Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Akta antiberita palsu: Pasukan khas kaji mansuh atau pinda - Gobind
Diterbitkan:  May 22, 2018 1:47 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menubuhkan sebuah pasukan pakar undang-undang untuk mengkaji sama ada Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan April lepas patut dimansuhkan atau dipinda, kata menterinya yang baharu, Gobind Singh Deo.

Gobind berkata beliau dan pasukan itu akan mengkaji semua perkara berkaitan Akta Antiberita Tidak Benar sebelum mengemukakan satu cadangan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Kabinet esok.

"Saya fikir ramai orang hendak tahu apa itu berita tidak benar, siapa yang boleh menentukannya? Saya sering menegaskan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar telah dibawa ke Parlimen untuk kelulusan secara tergesa-gesa, tidak difikirkan dengan semasak-masaknya. Kesannya, undang-undang tersebut membawa pengertian yang amat luas dan boleh disalah guna.

"Itulah sebabnya kenapa kita perlu mengkajinya," kata Anggota Parlimen Puchong itu, yang memulakan hari pertamanya bertugas di kementerian pada 8.15 pagi ini.

Gobind yang memakai kot dan bertali leher belang merah, tiba dengan kenderaan rasminya. Beliau diambut oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan para pegawai. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Ditanya pandangan beliau mengenai banyak negara melihat Akta Antiberita Tidak Benar sebagai landasan untuk menyekat penyebaran berita seumpama itu, Gobind berkata sebelum akta tersebut diluluskan pun, negara telah mempunyai undang-undang lain yang boleh menangani berita-berita tidak benar, jika ada.

"Persoalannya ialah adakah kita boleh menambah baik undang-undang tersebut? Inilah masalahnya kini dan perlunya peraturan untuk mengawal media hari ini. Apa yang kita bimbangi ialah pembentangan rang-rang undang berkenaan oleh kerajaan terdahulu dibuat secara tergesa-gesa dan tidak difikirkan dengan masak. Undang-undang itu boleh disalahtafsirkan, saya fikir bukan begitu caranya hendak membuat undang-undang.

“Undang-undang sepatutnya merujuk kepada perkara khusus dan tepat supaya para hakim dan penyiasat yang akan menggunakannya kelak memahaminya. Itulah sebabnya kita kena bergerak ke depan dan kerana itu kita perlu memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar,” kata beliau seraya menambah, beliau akan berjumpa badan-badan bukan kerajaan dan agensi-agensi berita untuk mendapatkan pandangan mereka juga.

Selain Akta Antiberita Tidak Benar, Gobind berkata terdapat juga undang-undang lain yang perlu dikaji semula seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang menyekat kebebasan bersuara.

Di samping itu, katanya inilah pendekatan berbeza yang diambil Pakatan Harapan yang komited untuk membina satu sistem yang mana pihak media boleh melaporkan berita tanpa memihak atau berasa takut.

"Inilah akta-akta yang sedang saya teliti dan adalah diharapkan apabila kita mencadangkan agar ia dimansuhkan atau dipinda kelak, kami mendapat maklum balas daripada pihak pemberita. Banyak juga pemberita yang telah menemui saya secara individu dan mencadangkan pelbagai cara untuk menambah baik sesetengah daripada undang-undang tersebut

"Saya menyambut baik kritikan – kita mahu maju ke depan dan mahukan pendapat-pendapat yang jujur. Para pemberita boleh datang berjumpa saya, tengoklah macam mana kita boleh memperbaikinya nanti,” kata Gobind.

Ditanya kemungkinan terdapat sesetengah daripada undang-undang tersebut sudah lapuk , beliau berkata kementerian akan mengkaji dan memperhalusi undang-undang yang lapuk dan bertindih, memandangkan perlembagaan negara juga ada menyentuh soal kebebasan bercakap dan bersuara.

Sudah tentu tidak wujud kebebasan mutlak kerana undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan itu mempunyai batas-batasnya tersendiri. Kita perlu melihat bagaimana undang-undang perlu dikemas kini memandangkan teknologi dan liputan media bergerak laju ke depan berbanding 20 tahun lepas.

"Inilah bidang-bidang yang sangat penting. Undang-undang tersebut perlu disemak semula supaya kemas kini dan memberi lebih kebebasan kepada akhbar,” tambah beliau.

Menurut Gobind, penubuhan majlis media dan pengukuhan kebebasn media adalah antara agenda utama beliau seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya umum Pakatan Harapan yang ia berjanji akan menunaikannya dalam masa 100 hari.

"Kebebasan media kini menjadi keutamaan  saya. Saya telah mengulangi komitmen saya agar para pemberita diberi kebebasan untuk melaporkan berita seadanya.

"Saya dimaklumkan sebelum ini terdapat kekangan tertentu dalam melaporkan berita. Isi kandungannya masih ada tetapi apa yang disiarkan tetap boleh dipertikaikan,” tambah beliau. 

Mengenai cadangan penubuhan majlis media, Gobind berkata beliau akan berbincang dengan Dr Mahathir mengenai perkara itu sebelum pelaksanaannya kerana masih ada isu-isu lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“Perbincangan mengenai cadangan itu, bagaimana ia boleh ditubuhkan, siapa yang akan menjadi anggotanya dan apa terma-terma rujukannya, sedang berjalan. Yang penting, akhirnya ia terlaksana,” kata beliau.

Mengenai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind berkata mungkin  beberapa perubahan akan dilaksanakan dan beliau akan mengkaji semula beberapa undang-undang dan masalah yang dihadapi badan itu ekoran beberapa aduan yang diterima mengenai suruhan  jaya itu akhir-akhir ini.  

Dalam sesi taklimat hampir dua jam itu, Gobind berkata kementerian juga ada berbincang mengenai cara untuk mempertingkatkan perkhidmatan jalur lebar, yang menerima banyak rungutan, ke arah kemungkinan menggandakan  kelajuannya, yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat Malaysia.

 

Lihat Komen
ADS