Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pasukan Petugas laksana janji 100 hari buku HARAPAN - TPM
Diterbitkan:  May 22, 2018 3:35 PM
Dikemaskini: 7:36 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan menubuhkan Pasukan Petugas bagi melaksanakan janji-janji 100 hari yang terkandung dalam Buku Harapan, yang merupakan manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau berkata perkara itu telah mendapat persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR itu berkata pasukan petugas berkenaan akan memberikan tumpuan khusus terhadap inisiatif keusahawanan sosial, pembangunan kepimpinan wanita dan inisiatif Projek Harapan.

“Keutamaan juga akan diberikan dalam menangani masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak seperti yang dilaporkan di dalam kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) kerana ia melibatkan kemiskinan bandar dan melibatkan kanak-kanak di Kelantan.

“Selain itu, kesejahteraan warga emas dan memberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah juga menjadi keutamaan,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum itu, Dr Wan Azizah mulakan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS