Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Akhbar patut buang perangai liputan sebelah pihak'
Diterbitkan:  May 22, 2018 5:31 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Gabungan pilihan raya bebas dan adil, BERSIH menggesa pihak media membuang "perangai lama" menyediakan liputan berat sebelah yang memihak parti pemerintah.

"Media kerajaan yang dibiayai oleh pembayar cukai seperti radio dan stesen televisyen RTM bukan lagi berkhidmat kepada pentadbiran hari ini tetapi kepada pembayar cukai.

"(Mereka sepatutnya) memberikan liputan media yang sama kepada semua pihak supaya pembayar cukai boleh membuat keputusan yang tepat," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

BERSIH itu berkata media memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan kerajaan selain berperanan sebagai platform bagi rakyat akar umbi menyuarakan keluhan mereka.

Minggu lalu, beberapa pemimpin BN memberitahu media tempatan dalam talian bahawa akhbar arus perdana kini berpihak kepada Pakatan Harapan berikutan kemenangannya pada pilihan raya 9 Mei.

Semak dan imbang

Antaranya, ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang menggesa media supaya "bersikap adil".

Ketua Pemuda MIC Datuk C Sivarraajh juga berkongsi pandangan sama berkata media tidak sepatutnya takut untuk mendapatkan pendapat daripada pemimpin BN kerana semak dan imbang terhadap pentadbiran semasa diperlukan.

Sementara itu, BERSIH menggesa kerajaan persekutuan untuk menunaikan janjinya memansuhkan undang-undang yang membendung kebebasan akhbar seperti Akta Hasutan 1948, Akta Anti-Berita Tidak Benar 2018, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dan peruntukan tertentu yang terkandung dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kami menggesa undang-undang ini untuk dimansuhkan atau dikaji semula dengan serta-merta selaras dengan hak asasi manusia dan kebebasan akhbar pada sesi pertama sidang parlimen kali ini.

"Kami juga menggesa kerajaan HARAPAN untuk memberikan kebebasan akhbar dengan jaminan perlindungan perlembagaan," katanya.

Lihat Komen
ADS