Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan tegas kembalikan wibawa universiti
Diterbitkan:  May 22, 2018 5:37 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Kerajaan bertekad untuk mengembalikan kewibawaan universiti awam dan institusi pengajian tinggi yang merupakan Janji 50 di bawah Teras Lima, Buku Harapan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata melalui manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) juga menyatakan bahawa institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam usaha membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang di persada dunia.

Beliau berkata pihaknya akan memastikan idea-idea bernas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia dapat diteruskan, manakala sebarang kelemahan dapat diperbaiki.

"Hajat saya ialah untuk melaksanakan kajian jangka pertengahan untuk kedua-dua dokumen besar ini bagi membolehkan kita menyemak dan menambah baik apa yang perlu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Serah-Terima Tugas Mantan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh kepada Menteri Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Mengenai janji dalam manifesto HARAPAN berhubung tempoh pelanjutan bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan RM4,000 sebulan, beliau berkata perkara itu sedang diusahakan.

"Antara lain kita akan berbincang dengan pihak Imigresen mengenai perkara sekatan untuk mereka yang ingin ke luar negara," katanya.

Janji itu adalah antara 10 perkara yang akan dilakukan HARAPAN dalam tempoh 100 hari apabila memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, beliau berkata akta itu akan digantikan dengan akta baharu yang sesuai.

"Itu merupakan sebahagian janij dalam manifesto HARAPAN, bila ia akan dilaksanakan akan dibincangkan di peringkat pemimpin HARAPAN," katanya.

Berhubung jawatan Pembantu Pengajar yang akan diwujudkan bagi menggalas tugas pentadbiran dalam usaha mengurangkan beban dipikul guru di negara ini, beliau berkata pihaknya akan memastikan perkara tersebut dapat dilaksana dalam tempoh lima tahun.

Terdahulu dalam ucapannya, Maszlee berkata majlis penyerahan yang berlangsung hari ini memperlihatkan amalan politik matang yang akan diwarisi kerajaan pada masa akan datang.

"Tahniah kepada Datuk Seri Idris kerana telah memacu kementerian sehingga menempa banyak kejayaan. Kita juga akan pastikan idea-idea bernas dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dapat diteruskan dengan beberapa penambahbaikan," katanya.

Lihat Komen
ADS