Pasukan siasat 1MDB usaha dapatkan 'dana yang dicuri'
Pasukan petugas khas menyiasat skandal 1MDB akan memberi tumpuan antara lainnya bagi mendapatkan semula semua dana yang didakwa disalahgunakan daripada syarikat pelaburan Malaysia dan disimpan di luar negara.
Ini berikutan mesyuarat pertama pasukan petugas khas itu hari ini yang terdiri daripada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas timbalan pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.
"Pertemuan membincangkan secara spesifik mengenai tindakan susulan yang perlu diambil berkaitan dengan kes 1MDB," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Mereka berkata mesyuarat itu menggariskan tiga keutamaan:
"Ianya adalah: (1) mendapatkan semula aset, (2) penghantaran balik semua wang dan aset daripada aktiviti haram yang berkaitan dengan 1MDB (3) Tindakan jenayah terhadap mereka yang terlibat di bawah Akta SPRM, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram dan Kanun Keseksaan.

"Pasukan petugas khas, yang dilantik perdana menteri, akan menjalankan tugasnya secara telus, adil dan profesional," katanya.
Pada tahun 2015, pasukan petugas khas yang diketuai oleh peguam negara ketika itu, Abdul Ghani Patail, sedang menyiasat deposit berbilion ringgit di dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak serta deposit berasingan daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Bagaimanapun ketika melancarkan siasatan, anggota pasukan petugas itu dipecat pentadbiran BN terdahulu manakala yang lain pula bersara awal.
Siasatan antarabangsa menunjukkan wang itu berasal daripada 1MDB tetapi Najib mendakwa ia "derma" putera Arab Saudi. Beliau menafikan salah laku atau mengambil wang awam untuk keuntungan peribadi.
Pada pilihan raya umum 9 Mei lalu, Najib memimpin BN ke kancah kekalahan pertama sejak kemerdekaan, mengakhiri kekuasaan gabungan itu selama 61 tahun.
Di bawah kerajaan Pakatan Harapan baru, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyusun kembali pasukan petugas khas tersebut dan berikrar menyiasat skandal 1MDB.

