Majlis Peguam: Hormati hak individu disiasat
Majlis Peguam memandang berat situasi ketika ini yang menyaksikan ada pihak yang tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan cuba mengganggu proses yang sedang dijalankan oleh pihak polis.
Presiden Majlis Peguam, George Varughese, berkata setiap individu yang disiasat mempunyai hak untuk membela diri tanpa mengira status, pangkat ataupun sentimen masyarakat.
"Walaupun kerajaan sebelum ini melakukan kesilapan, individu yang disiasat perlu dihormati haknya kerana ini kes berprofil tinggi dan bukannya menjatuhkan hukuman dengan sewenang-wenangnya.
"Hak ini diberikan kepada semua orang tanpa mengira apa yang dikatakan atau dianggap sebagai salah laku atau status sosialnya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tanpa menyebut sebarang nama tetapi jelas merujuk kepada siasatan yang dijalankan ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Varughese berkata agensi penguat kuasa juga perlu memastikan kerajaan hari ini menghormati undang-undang.
Menurut beliau, mereka tidak seharusnya menyekat kebebasan individu tersebut kerana ini melanggar proses undang-undang.
"Hanya pihak mahkamah boleh mengeluarkan perintah dan berdasarkan bukti prima facie yang mencukupi saja sekatan itu wajar atau tidak.
"Perintah sewenang-wenangnya yang dikeluarkan oleh agensi penguat kuasa undang-undang sendiri tanpa pengawasan kehakiman adalah pelanggaran hak perlembagaan individu berkaitan dan penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang," katanya.
Selain itu, menurut Varughese, agensi penguat kuasa juga mesti mendapatkan persetujuan mahkamah untuk menghalang orang yang disiasat daripada meninggalkan negara ini seperti yang terkandung dalam Kanun Tatacara Jenayah.
"Prosedur ini mesti diikuti. Kebocoran maklumat akan menjejaskan siasatan dan mungkin menjejaskan percubaan untuk membawa pelaku yang didakwa melakukan kesalahan jenayah ke muka pengadilan," katanya.

