Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Elak krisis lantik MB berpanjangan, kata PAS Perlis
Diterbitkan:  May 22, 2018 9:27 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Sekiranya krisis pelantikan Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan Perlis berlanjutan, PAS negeri itu bimbang ia akan menimbulkan implikasi yang buruk.

"Menteri Besar merupakan jawatan tertinggi dalam pentadbiran sesebuah kerajaan negeri.

"Sekiranya krisis pelantikan Menteri Besar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri ini berlanjutan, dibimbangi akan menimbulkan implikasi yang buruk di samping menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Perlis," kata Persuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut Shukri yang juga ADUN Sanglang situasi ini telah menimbulkan pelbagai persoalan di samping keresahan dalam kalangan rakyat negeri ini.

"Justeru, PAS berharap agar Barisan Nasional yang telah diberi mandat untuk mentadbir negeri ini, dapat segera mencari penyelesaian agar kemelut ini tidak berlarutan, demi kebaikan semua pihak, khususnya rakyat negeri Perlis," kata Shukri.

Bagaimanapun, Shukri juga berkata PAS meletakkan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam membuat keputusan yang terbaik.

Hampir dua minggu pilihan raya umum selesai, BN Perlis masih belum membentuk kerajaan di negeri itu.

Kesemua negeri, telah pun menyelesaikan pelantikan menteri besar dan exco masing-masing, tetapi di Perlis – satu daripada tiga negeri yang masih dipegang BN – masih belum jelas.

'Kebuntuan' itu tetap berlaku walaupun keputusan pilihan raya umum 9 Mei lalu menyaksikan BN Perlis masih menguasai dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

BN Perlis menang 10 kerusi daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.

Baki lima lagi kerusi dimenangi oleh PKR dan PAS – kemenangan terbanyak pembangkang sejak 60 tahun pentadbiran BN.

Kegagalan membentuk kerajaan itu dikaitkan dengan krisis dalaman, bermula dengan tindakan pengerusi BN negeri Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya Datuk Ismail Kassim sebagai menteri besar baru.

Bagaimanapun, penyandang menteri besar Datuk Seri Azlan Man dilaporkan tidak tahu menahu berkaitan perkara itu dan tidak dimaklumkan mengenainya.

Raja Perlis telah pun memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda di Istana Arau pada Isnin minggu lepas. Bagaimanapun belum jelas kandungan perbincangan dalam pertemuan itu.

Lihat Komen
ADS