Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hormati siasatan pada Najib, selagi waktu sesuai'
Diterbitkan:  May 22, 2018 10:18 PM
Dikemaskini: 2:21 PM

Pemangku presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak perlu menghormati siasatan berterusan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, selagi ia dilakukan dengan wajar.

Beliau berkata demikian mengulas soal siasat SPRM terhadap Najib di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi ini.

"Itu adalah prosedur SPRM dan juga mengikut tatacara dilakukan.

"Asalkan ianya dibuat pada waktu bersesuaian kita rasa tatacara itu harus dihormati semua pihak.

"Yang kami tidak bersetuju, waktu-waktu tidak sesuai tindakan dilakukan oleh agensi penguatkuasan berkenaan," kata beliau pada sidang akhbar di ibu pejabat Umno di ibu negara.

Najib melapor kepada SPRM sekitar jam 9.30 pagi hari ini untuk memberi keterangan berkaitan siasatan menerima berjuta-juta ringgit daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Siasatan itu telah dihentikan apabila beliau menjadi perdana menteri.

Selepas Najib memimpin BN ke kancah kekalahan pertama sejak 61 tahun berkuasa pada PRU14 baru-baru ini, kerajaan HARAPAN membuka semula kes tersebut, berjanji untuk menyelesaikan skandal 1MDB.

Najib dijangka akan disoal siasat lagi pada hari Khamis ini.

Polis sebelum ini dikritik ketika melancarkan serbuan pada waktu malam ke rumah Najib dan beberapa kediaman lain yang dikaitkan dengannya minggu lalu.

Sebanyak 72 beg wang tunai dan barang kemas bersama 284 kotak beg tangan berjenama dirampas dalam serbuan tersebut.
 

Lihat Komen
ADS