mk-logo
Berita
MATTA gesa cukai pelancong tinggal di hotel dimansuhkan
Diterbitkan:  May 22, 2018 9:20 PM
Dikemaskini: 9:58 PM

 

 

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa supaya Cukai Pelancongan (TTx) yang berkuatkuasa pada 1 Sept 2017 dimansuhkan.

Cukai itu mengenakan kadar rata RM10 untuk satu malam ke atas pelancong asing yang tinggal di hotel atau tempat penginapan yang berdaftar

Presidennya Datuk Tan Kok Liang berkata pelancong dialu-alukan untuk menikmati pengalaman bercuti yang menyeronokkan dan bebas berbelanja untuk penginapan, makanan dan minuman, lawatan pelancongan tetapi mengutip cukai daripada pelancong adalah langkah tidak produktif.

“Cukai Pelancongan yang mula dirancang untuk dikuatkuasakan pada Ogos 2017 meliputi rakyat Malaysia tetapi kemudian dikecualikan selepas orang ramai membantah kerana ia diputuskan tanpa rundingan sewajarnya dengan para pemain industri pelancongan.

“MATTA membantah dan melahirkan kebimbangan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengenai cukai kerana ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan, terutama pelancong yang berada di negara ini untuk tempoh yang lebih lama,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Beliau juga berkata sektor pelancong Malaysia berada di belakang Thailand, Singapura dan Filipina.

“Ketibaan pelancong di negara-negara ASEAN telah mencatatkan pertumbuhan positif pada 2017, dengan peningkatan sebanyak 7.8 peratus untuk Thailand, peningkatan 6.2 peratus untuk Singapura dan peningkatan 11 peratus untuk Filipina. Ketibaan pelancong ke Malaysia bagaimanapun menurun dengan mencatatkan 25.95 juta pelancong berbanding 26.76 juta pada 2016,” kata beliau.

Tan seterusnya berkata mengenakan lebih banyak halangan boleh menghalang pelancong daripada memilih Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan.

“Tanpa cukai, pelancong asing gembira datang ke negara inui, tinggal lebih lama dan bebas berbelanja. Di samping itu, jumlah cukai yang boleh dikutip hanya sebahagian kecil daripada apa kerajaan boleh peroleh dari cukai bentuk lain.

“Kami menggesa Kementetrian Kewangan mengkaji semula kadar cukai semasa dan memansuhkannya kerana langkah mengenakan cukai itu telah menjejaskan pengusaha hotel dan pelancongan,” kata beliau.

Tan berkata MATTA bersedia mengadakan perbincangan dengan kementerian-kementerian berkaitan untuk mengkaji dan memansuhkan cukai tersebut.

- Bernama

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini