Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Kedah mahu pembangkang bantu k'jaan negeri berada di landasan betul
Diterbitkan:  May 23, 2018 8:48 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mahu pihak pembangkang memainkan peranan dalam membantu kerajaan negeri untuk berada di landasan yang betul demi menjaga kepentingan rakyat negeri Kedah.

Baginda bertitah semua pihak perlulah melupakan perselisihan yang berlaku semasa proses pilihan raya umum lalu dan kembali bersatu di bawah bendera negeri Kedah.

"Beta ingin melihat proses ‘semak dan seimbang’ ini berfungsi bagi menjaga kepentingan rakyat Berbincanglah dengan berhemah, berbudi bahasa dan jujur. Berpeganglah dengan pepatah lama, ‘yang menang tidak dapat semua, yang kalah tidak hilang semua'

"Beta beranggapan setiap wakil yang dilantik mempunyai tanggungjawab yang sama. Pihak yang berjaya menubuhkan kerajaan hendaklah melaksanakan tugas dengan amanah, ikhlas dan jujur," titah baginda pada istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Anak Bukit semalam.

Turut berangkat hadir Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Sultan Sallehuddin turut mengingatkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tidak bersikap mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan kepentingan rakyat sebaliknya, menumpukan sepenuh perhatian untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Jawatan yang disandang ini bukan satu keistimewaan, ia merupakan tanggungjawab besar yang perlu dipikul dengan penuh rasa syukur, ikhlas, berintegriti dan amanah. Layanlah rakyat dengan penuh berhemah dan buktikanlah bahawa rakyat telah membuat pilihan yang tepat.

"Besar harapan beta agar semua yang dilantik ini dapat menumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman untuk berkhidmat dalam memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dan negeri Kedah dapat terus membangun dalam semua bidang," titah baginda.

Sultan Kedah juga mahu pengurusan kewangan dapat dibuat secara baik dengan penuh integriti dan akauntabiliti selain melihat setiap wang yang dibelanjakan mampu memberi faedah maksimum kepada semua rakyat Kedah.

"Beta percaya, jika usaha yang bersungguh-sungguh diambil negeri Kedah mampu mencapai kemajuan yang lebih membanggakan. Setiap aktiviti yang hendak dilaksanakan hendaklah dirancang dengan teliti agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat," titah baginda.

- Bernama

Lihat Komen
ADS