Pengiraan wang yang terdiri daripada pelbagai negara yang dirampas dari beberapa unit kondominium di Pavilion Residences Jumaat lalu masih belum selesai, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star hari ini.

Memetik sumber, akhbar itu berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (CCID) memulakan proses pengiraan pada awal 21 Mei.

Walaupun tidak pasti berapa banyak lagi wang tunai yang belum dikira, harian itu melaporkan anggota CCID masih mengira barangan yang dirampas dengan bantuan daripada agensi lain, termasuk Bank Negara.

"Ini melibatkan banyak mata wang berbeza, jadi prosesnya agak lama. Anggota polis juga mesti mencatatkan setiap wang kertas yang dirampas," kata sumber itu.

Fuzi mengesahkan bahawa lebih ramai saksi akan dipanggil untuk memberikan kenyataan jika keperluan itu timbul.

Jumaat lalu, polis merampas 72 beg wang tunai dan barangan kemas berserta 284 kotak yang memuatkan beg berjenama dari dua unit kondominium yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam siasatan berhubung 1MDB.

Pavilion Residences adalah salah satu daripada enam premis yang diserbu oleh polis. Polis turut menyerbu kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur dan di Seri Perdana, Putrajaya.

Najib dilaporkan telah membuat laporan polis yang mendakwa bahawa mereka yang dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan dana 1MDB membuat ancaman dan ugutan terhadap diri dan ahli keluarganya.

"Kita telah dan akan sentiasa memastikan keselamatan semua, termasuk bekas perdana menteri, jika ada keperluan untuk meningkatkan keselamatan, maka kita akan berbuat demikian,” kata Fuzi.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan laporan The Star secara bebas.

[Baca berita penuh]