PAS Kelantan mahu jumpa PM bincang royalti minyak
Kerajaan PAS Kelantan akan mengadakan kunjungan hormat dan bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat bagi meneruskan hubungan antara kerajaan (G2G) demi kepentingan rakyat negeri itu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata, pihaknya kini sedang menanti waktu sesuai untuk memaklumkan mengenai hasrat itu.
"Ya, kita sedang tunggu masa sesuai untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco pertama selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Ahmad berkata, dalam kunjungan itu pihaknya juga akan membincangkan agenda berkaitan tuntutan royalti minyak seperti mana dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak termasuk Kelantan.
"Berhubung royalti minyak, kita masih tegaskan untuk menuntut lima peratus sebagaimana dalam perjanjian dahulu. Bagi tuntutan 20 peratus itu berdasarkan jiwa besar kerajaan baharu yang dipilih rakyat.
"Kalau dia (kerajaan HARAPAN) beri, kita terima. Tapi yang penting kita tetap mahukan lima peratus yang kita tuntut seperti dalam pernjanjian sebelum ini. Kerajaan pusat sebelum ini gagal menunaikannya, namun kita harap jiwa besar kerajaan HARAPAN baru ini, tuntutan lima peratus royalti minyak direalisasikan.
"Kita bersedia mengadakan hubungan terbaik dengan kerajaan Pusat seperti kerajaan negeri lain. Bagaimanapun, kita akan tunggu dasar dan pendekatan HARAPAN menerusi forum yang diadakan di peringkat Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara serta Majlis Kerajaan Tempatan bersama wakil kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan Kewangan berkata, dalam mesyuarat hari ini pihaknya bersetuju menubuhkan Bahagian Koordinasi dan Program Khas (BKPK) bagi memantau pelaksanaan manifesto yang PAS Kelantan janjikan kepada rakyat.
"Melalui penubuhan ini, BKPK yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad bertanggungjawab memastikan semua keputusan yang dipersetujui di peringkat exco supaya dapat dilaksanakan demi kepentingan kepada rakyat.
"Kita juga bersetuju untuk menggunakan semua hasil sumber asli di negeri ini seperti mineral serta kayu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri. Semua punca hasil negeri akan digunakan sedaya upaya bagi menyuburkan ekonomi kita melalui pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta," katanya.

