Paling Popular
Terkini
story images
story images

Badan pendesak pembaharuan sistem pilihan raya BERSIH menggesa agar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digantung agar proses pembaharuan institusi berkenaan dapat dimulakan.

Selain itu, tambah BERSIH, enam pesuruhjaya SPR yang lain turut perlu digantung kerana rakyat sudah hilang keyakinan terhadap suruhanjaya berkenaan susulan dakwaan terlibat penyalahgunaan kuasa dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim, timbalannya Othman Mahmood dan lima pesuruhjaya lain sehingga hari ini tanpa segan silu masih memegang jawatan mereka dan enggan meletakkan jawatan atau bertanggungjawab.

"Untuk memulakan proses pembaharuan, BERSIH menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan proses menggantung pengerusi SPR dan timbalannya sementara menunggu siasatan dan penyingkiran mereka.

“Seterusnya, sebuah tribunal perlu ditubuhkan bagi menggugurkan kesemua tujuh pesuruhjaya bagi memberi laluan kepada pesuruhjaya baru yang kredibel, berdaya saing dan bebas mengambil alih," kata pemangku pengerusi BERSIH Shahrul Aman Mohd Saari dalam sidang media pagi ini.

Menurutnya, tujuh anggota kumpulan BERSIH sudah menyerahkan dua kertas cadangan - masing-masing untuk pembaharuan sistem pilihan raya dan pembaharuan parlimen - kepada Anggota Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) Zawiah Mohd Yusof di Menara Ilham, Kuala Lumpur.

Shahrul berharap IRC akan menyegerakan pembaharuan yang disenaraikan dalam kertas cadangan BERSIH dalam tempoh 100 hari.

"Sementara perhatian dan usaha banyak bertumpu pada isu 1MDB, BERSIH menegaskan keperluan pembaharuan sistem pilihan raya dengan segera dan dimulakan secepat mungkin," katanya, menambah BERSIH akan menyerahkan cadangan secara rasmi kepada IRC pada 30 Mei.

IRC yang ditubuhkan oleh Majlis Penasihat Kerajaan 15 Mei lalu dijangkan mengadakan mesyuarat pertama mereka pukul 5 petang ini.

Anggota IRC adalah:

Hakim bersara Mahkamah rayuan KC Vohrah
Hakim bersara Mahkamah Rayuan dan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai
Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Mohd Arshad Raji
Pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia (Hakam) Ambiga Sreenevasan
Profesor undang-undang Universiti Malaya Saleem Faruqi

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS