Malaysiakini
BERITA

Kenyataan peguam Wan Zainuddin tidak wakili PAS

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Mei 2018, 6:46 pagi

PAS hari ini menafikan kenyataan yang dikeluarkan peguamnya, Wan Zainuddin Wan Musa yang mendakwa kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Shukri Abdull berkaitan 1MDB bersifat prejudis terhadap Datuk Seri Najib Razak adalah mewakili parti berkenaan.

Sehubungan itu, menurut setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan, kenyataan Wan Zainuddin bersifat individu dan tidak dikeluarkan atas nama parti.

“PAS dengan ini mengesahkan tidak terlibat dan tidak bertanggungjawab di atas sebarang kenyataan lain mengenai isu yang dibuat atas nama PAS, sama ada oleh pimpinan mahupun ahli PAS.

“PAS telah menetapkan kenyataan rasmi berkaitan pandangann dan pendirian PAS dalam semua isu-isu utama hanya boleh dikeluarkan oleh presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Wan Zainuddin dilaporkan berkata kenyataan Shukri amat tidak perlu dikeluarkan secara terbuka kerana ia akan secara langsung mewujudkan persepsi bahawa memang wujud campur tangan politik dalam kes ini sebelum ini.

Menurut Zainuddin, ia tidak patut dikeluarkan pada hari yang sama Najib dipanggil untuk diambil keterangan oleh SPRM.

Kenyataan Zainuddin itu ditulis di Facebooknya dan kemudian ia dikongsi oleh PAS Selangor.

Takiyuddin menegaskan kenyataan oleh Zainuddin tiada kaitan dengan PAS.

“Kenyataan berkenaan tidak ada kaitan dan tidak sekali-kali mewakili PAS. Sebaliknya adalah kenyataan individu berkenaan semata-mata,” katanya lagi.

 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.