'Shukri sudah minta maaf panggil saya pengkhianat negara'
Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sudah memohon maaf kerana melabelnya sebagai ‘pengkhianat negara’.
Dzulkifli yang merupakan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM menjelaskan permohonan maaf itu dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
“Datuk Seri Shukri telah menghubungi saya pada pagi ini melalui WhatsApp dan sebagai seorang yang berjiwa besar, beliau telah memohon maaf kepada saya di atas kenyataan yang tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap diri saya dalam sidang media tersebut semalam.
“Saya amat bersyukur dan berlapang dada untuk menerima permohonan maaf beliau dan kami berdua menyifatkan bahawa isu ini telah pun selesai,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Mohd Shukri bagi mendapat pengesahan berhubung permohonan maaf itu.
Sementara itu, Dzulkifli turut menafikan bertindak sebagai 'pengkhianat negara' selama menjalankan tugas.
“Sepanjang tempoh hampir 25 tahun berkhidmat di dalam perkhidmatan awam Malaysia, saya telah menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab, profesional serta memberikan komitmen yang tinggi.
“Dan saya sesungguhnya tidak pernah pada bila-bila masa menjadi atau bertindak sebagai ‘pengkhianat negara’,” katanya.
Mohd Shukri pada Selasa lalu melabel Dzulkifli sebagai ‘pengkhianat negara’ dalam sidang media pertamanya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Dalam sidang media itu, Shukri berkata, beliau memohon persaraan awal pada 2016 dengan alasan mahu menyambung pengajian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah Dzulkifli yang dianggapnya sebagai pengkhianat.
Mohd Shukri turut mengkritik Dzulkifli sebagai kurang berintegriti dalam menjalankan siasatan skandal 1MDB.
Selain itu, Mohd Shukri mendedahkan menerima pelbagai ugutan ketika menjalankan siasatan berhubung skandal berkenaan termasuklah menerima peluru hidup.
Kenyataan Mohd Shukri itu bagaimanapun disifatkan beberapa pihak sebagai prejudis terhadap pihak yang disiasat dalam skandal 1MDB, termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mohd Shukri dilantik menerajui agensi pencegahan rasuah itu selepas Dzulkifli memohon menamatkan kontraknya.

