Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Berita Ringkas: M'sia naik dua anak tangga ranking IMD
Diterbitkan:  May 24, 2018 6:10 AM
Dikemaskini: May 24, 2018 1:38 AM

Malaysia naik dua anak tangga kepada kedudukan 22 dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) Pusat Daya Saing Dunia.

“Malaysia merupakan satu-satunya ekonomi (di Asia Tenggara) yang mencatatkan kenaikan dua anak tangga, dipacu oleh pemulihan kukuh prestasi ekonomi, khususnya perdagangan antarabangsa,” menurut kumpulan penyelidikan yang berpangkalan di Switzerland itu dalam kenyataan hari ini.

Lima negara teratas yang paling berdaya saing di dunia kekal seperti pada 2017, namun kedudukan itu berubah.

Amerika Syarikat kembali ke tangga pertama dari kedudukan keempat tahun lepas, didorong terutamanya oleh prestasi ekonomi dan infrastruktur yang kukuh.

Kedudukan itu diikuti Hong Kong, Singapura, Netherlands dan Switzerland.

Chong Wei tamatkan 'badi' tiga kali kalah kepada Axelsen

Pemain nombor satu dunia, Victor Axelsen dari Denmark, ternyata gagal mengesan corak serangan pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang dapat menundukkannya pada pertemuan peringkat kumpulan antara Malaysia-Denmark dalam saingan Piala Thomas semalam.

Dan, corak serangan pemain nombor satu negara itu sememangnya mengejutkan Axelsen, yang juga pemain nombor satu dunia yang baharu.

Hasil serangan bertali arusnya, Chong Wei berjaya menamatkan set pertama dengan mudah untuk mendahului 21-9 dalam masa hanya 16 minit.

Bagaimanapun dalam set kedua, Axelsen mengubah corak permainannya untuk memberikan saingan lebih sengit kepada Chong Wei namun, beliau terpaksa akur dengan kekalahan 19-21 kepada pemain Malaysia itu.

BERSATU mahu tambah ahli di Terengganu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu mahu meningkatkan lagi aktiviti menambah keanggotaannya dalam usaha memperkasakan parti itu di negeri ini.

Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata pada masa ini, PPBM mempunyai 1,800 anggota berdaftar di Terengganu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 5,000 hingga 6,000 menjelang akhir tahun ini.

K'jaan Sabah timbang tarik balik pengharaman bot pam

Kerajaan Sabah akan menimbang untuk menarik balik pengharaman bot pam dalam usaha membantu nelayan miskin meningkatkan pendapatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata pengharaman penggunaan bot pam itu dilihat menghalang nelayan miskin daripada mencari rezeki di laut.

“Saya juga menyatakan kita (kerajaan negeri) akan ‘menghalalkan’ penggunaan bot pam. Ini satu langkah yang boleh membantu masyarakat, nelayan miskin di peringkat akar umbi untuk menjana mata pencarian.

“Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Ramli Din),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah semalam.

Bantuan JKM tak perlu sokongan ADUN atau JKKK

Kerajaan negeri Melaka memutuskan sebarang permohonan untuk bantuan kebajikan di negeri ini tidak lagi memerlukan sokongan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) ataupun Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata penilaian dan penelitian akan dilakukan sepenuhnya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menentukan tahap kelayakan pemohon mengikut kriteria ditetapkan.

"Sebelum ini, setiap permohonan perlu mendapatkan sokongan daripada ADUN ataupun JKKK tetapi kita berhasrat memulangkan semula profesionalisme JKM kerana berpendapat penilaian terbaik dalam menentukan tahap kelayakan penerima bantuan adalah daripada pihak mereka sendiri.

"Dalam masa sama, kita berharap agar semua ADUN mengambil maklum mengenai kebajikan yang disalurkan oleh JKM (di kawasan masing-masing) dalam usaha membantu golongan sasar," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh semalam.

MB Terengganu jumpa PM 7 Jun

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan menghadiri mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dijangka dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Putrajaya, 7 Mei ini.

Menteri Besar kerajaan negeri pimpinan PAS itu berkata setakat ini beliau belum mendapat agenda mesyuarat yang akan turut dihadiri oleh semua menteri besar dan ketua menteri.

Katanya, beliau belum pasti sama ada kaedah pelaksanaan penyaluran royalti minyak dan gas kepada negeri itu akan dibincangkan.

“Sama ada isu royalti akan dibincangkan atau tidak itu perkara kedua. Yang penting kita akan menghadiri mesyuarat itu dulu,” katanya kepada pemberita selepas melawat dua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Losong Haji Shafie, semalam.

Pada lawatan tersebut, Ahmad Samsuri menyampaikan bantuan segera berupa wang tunai dan barangan keperluan termasuk barangan makanan asas, tilam, bantal dan tikar kepada kedua-dua keluarga mangsa yang rumah mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

114,128 permohonan pemilih baru suku pertama 2018 - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 114,128 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 48,763 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar dalam suku tahun pertama tahun 2018 (ST1/2018).

SPR dalam satu kenyataan berkata Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi tempoh berkenaan akan dipamerkan selama 14 hari mulai hari ini hingga 5 Jun di 961 tempat-tempat pameran di seluruh negara.

Suruhanjaya itu meminta mereka yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Januari 2018 hingga 31 Mac 2018 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST1/2018.

- Bernama

Lihat Komen
ADS