Umno beranggapan beberapa agensi yang dibubarkan kerajaan Pakatan Harapan tidak digunakan untuk politik.

Dalam satu kenyataan hari ini Unit Komunikasi Strategik Umno mendakwa langkah Putrajaya membubarkan agensi terbabit lebih bersifat menghukum rakyat.

Kekesalan itu, kata kenyataan tersebut, lebih dirasai kerana berlaku ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Menganggap langkah pembubaran berkenaan sebagai 'hadiah' yang akan menutup periuk nasi pihak terbabit, Umno berkata, ada cara lain yang boleh diambil oleh pihak kerajaan.

“Kami merasakan wajar pekerja terbabit diserapkan ke jabatan dan agensi lain dalam kerajaan, dan tidak sekadar membiarkan mereka hilang sumber pendapatan dalam sekelip mata," katanya.

Semalam Tun Dr Mahathir mengumumkan keputusan Putrajaya membubarkan lima agensi yang sebelum ini wujud dalam kerajaan.

Agensi berkenaan ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (Pemandu), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Turut dibubarkan ialah Majlis Profesor Negara (MPN).

JKKKP ialah badan yang diwujudkan kerajaan BN selepas parti pembangkang berjaya menguasai beberapa negeri sebelum ini.

MPN pula menghimpunkan kumpulan profesor yang sepatutnya memberikan nasihat kepada kerajaan, namun pengkritik berpendapat kebanyakan pandangan mereka dilihat lebih bersifat mengampu.

JASA pula sebuah badan yang sebelum ini terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Sungguh pun begitu pegawai kanan yang berkhidmat dengan JASA sangat aktif mempertahankan kerajaan terutama dalam isu 1MDB.

Menurut Unit Komunikasi Strategik Umno badan yang dibubarkan itu sebenarnya berkhidmat untuk rakyat.


Baca Puad tetap tabah walau tahu akan diketawa orang


“SPAD, misalnya, ditubuhkan khas bagi memantau sistem pengangkutan awam darat, dan tidak timbul sebarang pertindihan dengan fungsi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Mungkin ada kebenaran kerajaan dapat menjimatkan kira-kira RM500 juta setahun dengan pemberhentian semua kakitangan agensi terbabit, tetapi pada waktu sama rancangan membubarkan tol - menurut agensi Moody’s - akan membabitkan pampasan yang terlalu tinggi," katanya.

Umno berkata hal sama berlaku pada JKKKP yang banyak menabur bakti kepada masyarakat.

“Begitu juga dengan JASA. Kenapa baru sekarang Dr Mahathir menyedari kesilapan dan kelemahannya, jika ada? ” soalnya.

Menurut Umno kerajaan sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat, bukannya menayangkan kuasa secara membuat keputusan yang tidak rasional.