Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Menteri saran penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan

Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian itu akan menubuhkan Majlis Penasihat Kesihatan bagi membantu hala tuju perkhidmatan kesihatan negara ini.

"Saya akan mencadangkan ini kepada kabinet dan ia tidak sepatutnya menjadi masalah kerana kita melihat kementerian lain mengambil pendekatan yang sama.

"(Pelancaran majlis ini) usaha kerajaan teknokrat yang diketuai oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mahu negara ini maju,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di bangunan Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

Ditanya siapa bakal menganggotai majlis penasihat berkenaan, Dr Dzulkefly mendedahkan antara mereka yang diharap dapat dibawa masuk adalah Presiden Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Abu Bakar Suleiman.

Dr Dzulkefly berkata, beliau berharap majlis itu akan ditubuhkan dalam masa 100 hari bersama dengan pelancaran Skim Peduli Sihat (SPS) yang merupakan sebahagian daripada manifesto HARAPAN.

Katanya, buat masa ini pihaknya sedang berbincang dengan ketua jabatan kementerian kesihatan berkaitan SPS.

“Saya akan maklumkan nama-nama lain kemudian, tapi saya beri jaminan kepada semua, majlis itu akan bebas dan tidak berpihak.

“Dan saya dah beri taklimat sebahagian ketua setiausaha, dalam masa 100 hari itu kita akan cuba membuat pelancaran Skim Peduli Sihat.

“Bentuknya, polisi, semua tu akan kita masukkan dalam perbincangan ini, yang baru bermula. Yang kita harap dapat memenuhi janji 100 hari,” katanya.

Terdahulu Dr Dzulkefly hadir bagi proses penyerahan tugas oleh bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Dr Dzulkefly mengucapkan tahniah kepada Dr Subramaniam terhadap apa yang dilakukan untuk sektor kesihatan dan berharap dapat meneruskan usaha presiden MIC itu untuk mengukuhkan penjagaan kesihatan.

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata pihaknya juga sedang mengkaji caj bayaran baru untuk warga asing yang menggunakan perkhidmatan kesihatan di negara ini dan ia akan diumumkan tidak lama lagi.

“Ini dalam pertimbangan kami dan saya belum boleh beri apa-apa komitmen dan kami sedang pertimbangkan.

“Saya rasa satu keputusan akan dicapai dalam waktu terdekat, perkara ini kita dah bincang dalam manifesto dulu, sedikit masa lagi kami akan buat keputusan muktamad,” katanya.

Lihat Komen
ADS