Arul ingatkan dia sertai 1MDB ketika hutang sudah ada
Ahli korporat Arul Kanda Kandasamy sekali lagi mengingatkan bahawa beliau hanya menyertai 1DMB pada Januari 2015, ketika syarikat pelaburan itu telah pun terbeban hutang dan banyak projek-projeknya berdepan masalah.
Katanya, kemasukannya juga selepas dakwaan salah laku 1MDB disebut oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), laporan ketua audit negara berkaitan 1MDB dan saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat.
“Banyak pihak berkuasa tempatan telah dan masih menjalankan siasatan terhadap 1MDB.
“Beberapa isu sekitar dana pelaburan 1MDB (termasuk pihak yang bertanggungjawab untuk pelaburan asal dan pengurusan sedia ada) yang diketengahkan dari 2015, dan kemudiannya dikemaskini, bukan hanya kepada pihak berkuasa siasatan, tetapi juga lembaga pengarah dan pemegang saham.
“Fokus hanya hanyalah untuk rasionalisasi perniagaan syarikat,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB itu.
Baca: Menteri Kewangan tak adil - Arul Kanda
Arul bagaimanapun menegaskan kenyataannya hari ini dibuat atas kapasiti peribadi.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam menyifatkan Arul tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.
Beliau juga mendedahkan seorang pengarah 1MDB memberitahunya bahawa “unit dana” AS$2.5 bilion (RM9.8 bilion) syarikat itu adalah penipuan semata-mata.
Lim telah mengarahkan Arul menulis kepada kementerian bagi menjelaskan sama ada mereka mampu menyelesaikan hutang RM143 juta 1MDB, yang mesti dibayar minggu depan.
Dalam kenyataan sama, Arul juga menyifatkan Lim tidak adil dengannya apabila mengeluarkan kenyataan umum yang didakwanya memberi gambaran “tidak tepat” berkaitan apa yang berlaku.

