Pemimpin dan akar umbi MIC digesa bersatu padu bagi memastikan parti itu terus mendapat tempat dan kekal relevan walaupun berada di posisi pembangkang

Presidennya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata walaupun pihaknya berhadapan dengan cabaran politik namun mereka harus berusaha memastikan terus bertahan untuk berdepan pilihan raya umum lima tahun lagi.

“Masa depan MIC memang satu cabaran dalam iklim politik sedia ada.

“Apa yang mustahak perpaduan dalam pemimpin-pemimpin supaya mereka boleh menyatu padu menghadapi cabaran yang tersedia ada dan memastikan mewujudkan kerelevanan MIC baru masih boleh bertahan untuk lima tahun akan datang.

”Dan kerana dalam suasana parti politik tiada peranan dalam kerajaan persekutuan dan negeri, jadi cabaran besar dan perlu perubahan sikap dalam ahli-ahli kita, pemimpin kita untuk sesuaikan diri sebagai pembangkang yang konstuktif daripada kerajaan dulu kerana peralihan akan ambil masa,” katanya.

Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan tugasnya sebagai menteri kesihatan kepada Dr Dzulkefly Ahmad di bangunan Kementerian Kesihatan di Putrajaya, hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, MIC hanya memenangi dua kerusi parlimen iaitu di Tapah dan Cameron Highlands.

Sementara itu Subramaniam berkata beliau akan pergi ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada akar umbi MIC berhubung perkara itu.

“Saya akan pergi ke seluruh negara untuk beri pandangan itu, mereka akan bawa perubahan selaras dengan itu dan peranan baru, itu pun peranan mustahak.

“Masa jadi kerajaan kita menyampaikan, masa jadi pembangkang untuk lihat penyampaian pihak kerajaan dan menyuarakan secara baik.

“Kalau penyampaian boleh dibuat dan pemimpin boleh sesuaikan diri dalam suasana berbeza saya ingat kerelevanan parti boleh kukuh di masa akan datang,” katanya.

Apabila ditanya sama ada MIC mempunyai sebarang rancangan untuk pembaharuan parti kepada berbilang kaum, Subramaniam berkata ia sedang dibincangkan di peringkat gabungan BN.

"BN adalah koleksi parti berasaskan kaum dan mungkin itulah sebabnya ia tidak begitu popular.

“Mungkin kita perlu mengubahnya di peringkat gabungan," katanya.