‘Daim jamin kontraktor bumiputera tak dipinggirkan’
Susulan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan hari ini, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Mokhtar Samad berkata beliau yakin bahawa kontraktor bumiputera akan dibantu oleh kerajaan Pakatan Harapan.
“(Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan) Tun (Daim Zainuddin) dengan ahli panel memberi jaminan tidak akan meninggalkan kontraktor bumiputera.
“(Daim) kata negara ini bukan hanya (terdiri daripada) bumiputera ke (atau) tidak bumiputera, siapa yang mempunyai bakat dan berkebolehan sudah tentu akan dibantu.
“(Kontraktor bumiputera) ini akan kerajaan baru membantu denagn kaedah-kaedah yang lebih baik daripada yang dulu.
“Yang lain-lain itu Tun (Daim) kata jangan beritahu dengan press (media), dia yang akan bagi tahu press,” kata Mokhtar ketika ditemui oleh wartawan selepas mengadakan pertemuan di Menara Ilham di Kuaal Lumpur, pagi ini.
Mokhtar berkata beliau "berpuas hati" dengan jaminan yang diberikan oleh Daim kepada kontraktor-kontraktor bumiputera di negara ini dan yakin bekas menteri kewangan itu memahami masalah mereka.
“Dia (Daim) faham masalah kita.
“Kepada semua kontraktor (bumiputera) jangan bimbang (dan) ragu semua. Kerajaan yang ada sekarang ini akan membantu kontraktor bumiputera.
“Tapi kontraktor bumiputera hendaklah bersedia menyahut cabaran ini dengan slogan kemajuan itu mestilah berasaskan persaingan,” katanya.

