Rais: Tindakan Zuhdi tak sokong pembaharuan 'memalukan'
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki sepatutnya memuji langkah reformasi dan siasatan yang dimulakan oleh pentadbiran Pakatan Harapan dan bukan membidasny, kata pengarah strategi BERSATU, Datuk Dr Rais Hussin.
Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa dakwaan Zuhdi kononnya kerajaan baru langsung tidak bersedia untuk segera membentuk kabinet selepas menang adalah "memalukan" kerana Zuhdi gagal menilai dasar-dasar segera yang telah dilaksanakan.
Antaranya, kata Rais, adalah tindakan kerajaan HARAPAN yang segera membentuk Majlis Penasihat Khas mengenai hal ehwal ekonomi untuk menstabilkan pasaran dan keputusan untuk mengurangkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada sifar peratus mulai 1 Jun.
Putrajaya juga bergerak pantas mengurangkan pembaziran, termasuk mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB dan memulakan usaha meningkatkan kelajuan jalur lebar serta mengurangkan harganya.
"Bagaimanakah kerajaan yang 'tidak bersedia' membuat keputusan seperti ini dengan cepat dan jauh mendahului garis masa yang ditetapkan seperti janji-janji kita dalam manifesto?
"Ini adalah masalah besar yang Zuhdi tidak mampu memahami dinamika apa sebenarnya Pakatan Harapan.
"Ia (HARAPAN) bertunjangkan kepentingan rakyat, bukan ditentukan oleh beberapa pemimpin atau parti," kata Rais.
Beliau berkata kenyataan Zuhdi bahawa pelantikan kabinet tidak sah kerana sudah ada 15 anggota kabinet yang mengambil sumpah jawatan.
Rais memberitahu Malaysiakini: "Apa yang lebih penting? Mengisi jawatan kabinet atau menunaikan janji manifesto untuk kepentingan rakyat?
"Kami memilih kepentingan rakyat, iaitu untuk memberi tumpuan kepada apa yang mereka mahu dan mengurangkan bebanan penderitaan mereka dan sebagainya."
Mengenai dakwaan Zuhdi bahawa kerajaan HARAPAN tergopoh-gapah dan mengambil tindakan yang disifatkan sebagai populis dalam menghukum pentadbiran lalu, Rais berkata gabungan itu, sebelum pilihan raya, berjanji untuk menyiasat antara lain, 1MDB, Felda dan Tabung Haji.
Beliau berkata HARAPAN perlu mendapatkan wang berkenaan dengan segera dan ini hanya boleh dilakukan dengan memulakan siasatan.
"Kenapa Zuhdi beri pengecualian untuk menjejaki skandal mega seperti 1MDB, Tabung Haji dan Felda?
"Ini bukan tentang populis, ini adalah tentang mendapatkan semula wang yang dicuri daripada rakyat.
"Bukankah ini yang akan dilakukan oleh mana-mana kerajaan yang sopan dan berwibawa?" soalnya.

