Tok Pa: Beri ruang Dr M tadbir negara
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi penegasan betapa rakyat Malaysia perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mentadbir negara.
Menurutnya, pilihan raya umum ke-14 (PRU14) mencipta satu sejarah dan rakyat Malaysia sudah memberikan isyarat cukup jelas bahawa soal integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik adalah penting dalam memacu Malaysia mendepani cabaran dalam dan luar negara.
"Sejajar dengan amalan demokrasi rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada pentadbiran baru Pakatan Harapan (HARAPAN) di bawah pimpinan Dr Mahathir untuk meletakkan negara di atas landasan yang kukuh.
"Tidak dinafikan bahawa beberapa kelemahan kerajaan terdahulu di bawah BN perlu ditangani. Sebagai salah seorang anggota Jemaah Menteri sebelum ini dan bersandarkan kepada prinsip ‘collective responsibility’, kami juga bertanggungjawab terhadap beberapa perkara yang berlaku," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, BN terutamanya Umno harus berlapang dada dan menerima suara rakyat dengan terbuka.

"Umno masih diberikan kepercayaan oleh rakyat dan ini diterjemahkan menerusi 54 kerusi di Dewan Rakyat. Amanah besar sebagai pembangkang ini perlu ditunaikan dengan sebaik mungkin.
"Kekalahan ini membawa hikmah tersendiri kepada Umno di mana ia membuka ruang kepada kita untuk melaksanakan pembaharuan dalam parti ini. Agenda rejuvenasi Umno menjadi lebih penting di saat yang mencabar ini," katanya.
Tegas anggota parlimen Jeli itu, Umno perlu berubah dan rakyat tidak akan menunggu mereka.
Oleh itu katanya, pemimpin-pemimpin Umno di setiap peringkat perlu bermuhasabah dan berani untuk melakukan perubahan radikal bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti ini.
"Setiap ahli Umno perlu menolak budaya negatif yang telah mencalarkan imej parti termasuklah budaya politik ‘warlord’, sifat angkuh, amalan politik wang dan retorik perkauman yang melampau.
Sikap jumud, politik wang
"Kita tidak boleh terus bersikap jumud dan memandang remeh
perkara-perkara ini," ujarnya.
Sementara itu tambah beliau, keputusan Majlis Tertinggi Umno membuka semua jawatan untuk dipertandingkan pada pemilihan Umno nanti adalah di antara keputusan yang mampu memperbaiki imej parti ini.
"Saya berharap supaya pemilihan ini dilaksanakan bebas dari sebarang amalan politik wang, serta berlangsung dalam suasana kekeluargaan.
"Kita semua harus menggembleng tenaga untuk menyuburkan amalan demokrasi di negara ini. Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang perlu memainkan peranan yang berkesan dalam menangani masalah rakyat dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya," katanya.

